Khamis, 30 Julai 2015 | 7:24pm

Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah hari ini selepas jualan pada saat-saat akhir yang menyebabkan keuntungan yang direkodkan pada peringkat awal merosot, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.93 mata kepada 1,699.92 selepas naik turun antara 1,695.66 dan 1,706.26 di sepanjang dagangan hari ini.

Seorang peniaga berkata, beberapa pelabur mengambil kesempatan menjual pegangan apabila pasaran meningkat selepas penurunan lapan hari berturut-turut.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 401 berbanding 383, manakala 354 kaunter tidak berubah, 681 tidak diniagakan dan 41 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.61 bilion unit bernilai RM1.58 bilion berbanding 1.36 bilion unit bernilai RM1.73 bilion semalam.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 2.29 mata kepada 11,757.41, Indeks FBMT100 menokok 0.8 mata kepada 11,428.3 dan FBM Syariah menambah 24.41 mata kepada 12,255.79.

FBM 70 susut 19.46 mata kepada 12,747.57 dan FBM Ace turun 30.76 mata kepada 6,289.62.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 44.78 mata kepada 15,248.25 dan Indeks Perladangan merosot 6.57 mata kepada 7,332.35, manakala Indeks Perusahaan melonjak 24.78 mata kepada 3,191.73.

Antara kaunter aktif, Pesona Metro menokok 4.5 sen kepada 64 sen dan Xidelang menambah satu sen kepada 18.5 sen. Lee Swee Kiat turun dua sen kepada 36 sen, IFCA MSC susut enam sen kepada 98 sen manakala Jaks susut setengah sen kepada 95.5 sen.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank susut tujuh sen kepada RM8.99 manakala TNB dan Axiata masing-masing susut dua sen kepada RM12.12 dan RM6.28. Public Bank menokok empat sen kepada RM18.88 dan Sime Darby meningkat 18 sen kepada RM8.60.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM1.44 bilion berbanding 966.49 juta unit bernilai RM1.61 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 252.8 juta saham bernilai RM70.4 juta berbanding 118.1 juta saham bernilai RM46.76 juta semalam.

Waran meningkat kepada 226.1 juta unit bernilai RM66.59 juta berbanding 213.68 juta unit bernilai RM67.95 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 164.01 juta saham yang diurusniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (249.81 juta), pembinaan (205.88 juta), perdagangan dan perkhidmatan (282.34 juta), teknologi (81.05 juta), infrastruktur (9.75 juta), SPAC (20.55 juta), kewangan (41.41 juta), hotel (880,400), hartanah (67.61 juta), perladangan (8.12 juta), perlombongan (48,400), REIT (6.83 juta), dan dana tertutup (tiada).

- BERNAMA

Berita Harian X