Khamis, 23 Julai 2015 | 8:36am

PSTEF manfaatkan potensi pertumbuhan saham modal sederhana, kecil

KUALA LUMPUR: Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank, melancarkan dana baharu, Public Dana Select Treasures Equity (PSTEF) yang disasarkan mencapai pertumbuhan modal tinggi dalam jangka sederhana hingga panjang.

Dana baharu itu akan melabur dalam portfolio pelaburan yang terdiri daripada syarikat bersaiz sederhana dan kecil daripada segi permodalan pasaran dalam pelbagai sektor ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong, berkata, syarikat bermodal sederhana dengan saiz yang lebih besar umumnya mempunyai rekod pendapatan yang memberangsangkan dan menjadi peneraju utama dalam industri masing-masing manakala saham bermodal kecil menawarkan peluang pertumbuhan yang lebih tinggi kerana asas pendapatan lebih kecil.

Katanya, PSTEF menggabungkan aspek terbaik daripada kedua-dua dunia saham berkenaan dan memberikan pelabur peluang yang ideal untuk mengambil kesempatan daripada potensi pertumbuhan yang tinggi daripada saham bermodal sederhana dan kecil.

"Pendedahan ekuiti PSTEF adalah antara 75 peratus dan 98 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAB). Hingga 25 peratus daripada NAB Dana boleh dilaburkan dalam pasaran asing, seterusnya menawarkan pelabur peluang untuk mempelbagaikan pelaburan dengan lebih meluas.

"Dana ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai matlamat pelaburan jangka sederhana hingga panjang dan mencari peluang untuk melabur dalam syarikat bersaiz sederhana dan kecil yang tersenarai di Bursa Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini.

Harga terbitan permulaan PSTEF ialah sebanyak RM0.2500 seunit, sepanjang 21 hari tempoh tawaran permulaan dari 22 Julai hingga 11 Ogos 2015.

Pelaburan permulaan minimum ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. Pelabur yang membuat pembelian sepanjang tempoh tawaran itu akan menikmati promosi istimewa caj jualan serendah 5.0 peratus daripada harga terbitan permulaan seunit.

Kim Hong berkata, sepanjang tempoh dari 22 Julai hingga 11 Ogos 2015, pelabur yang memilih untuk membuat Arahan Debit Terus bagi PSTEF akan menikmati promosi istimewa caj jualan sebanyak 5.25 peratus daripada NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif.

Public Mutual adalah antara syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 100 dana unit amanah. Syarikat mempunyai lebih 3.1 juta pemegang akaun.

Hingga pada akhir bulan Mei 2015, jumlah nilai aset bersih dana yang diuruskan syarikat adalah RM65.5 bilion.

Berita Harian X