Isnin, 20 Julai 2015 | 5:59pm

Ringgit ditutup kukuh berbanding mata wang utama

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding mata wang utama, termasuk dolar AS, hari ini, berikutan sokongan belian terhadap unit tempatan itu.

Pada jam 5 petang, ringgit berada pada 3.8050/8080 berbanding dolar AS daripada 3.8060/8080 pada Khamis lalu.

Pasaran pertukaran asing ditutup pada Jumaat sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Seorang peniaga berkata, ringgit meningkat meskipun kekukuhan dolar AS susulan jangkaan kadar faedah tinggi daripada Rizab Persekutuan AS oleh pelabur.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.7733/7757 daripada 2.7844/7879 pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.0616/0643 daripada 3.0708/0737.

Unit tempatan juga mengukuh berbanding pound sterling kepada 5.9244/9306 daripada 5.9431/9473 pada Khamis dan meningkat berbanding euro kepada 4.1280/1321 daripada 4.1501/1534 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X