Sabtu, 4 Julai 2015 | 11:33am

Ringgit dijangka naik sedikit berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka naik sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan minat belian yang kembali pulih, kata peniaga.

Prestasi dagangan Malaysia yang kukuh pada Mei lepas turut dipaparkan menerusi peningkatan 1.3 peratus kepada RM115.4 bilion, sekali gus memacu sentimen terhadap ringgit.

Peniaga itu berkata, data pekerjaan AS yang lemah serta kebimbangan menjelang pungutan suara Greece berhubung syarat-syarat pembayaran hutang oleh negara itu, akan membantu pelabur lebih bertumpu kepada asas-asas Malaysia.

Sepanjang minggu ini, ringgit diniagakan bercampur-campur dan berlegar antara 3.7480 dan 3.7825 kerana berdepan tekanan ketara sebelum pengumuman oleh Fitch Ratings Agency.

Ia bagaimanapun, pulih pada Rabu selepas Fitch Ratings menyemak naik kadar penarafan Malaysia kepada stabil daripada negatif.

"Semakan menaik itu mengesahkan bahawa ringgit telah dinilai rendah manakala pembiayaan awam kian pulih dan kekal kukuh biarpun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar di peringkat luaran," kata peniaga lain.

Momentum itu, bagaimanapun, tidak berubah pada Khamis disebabkan aktiviti pengambilan untung kerana kebimbangan terhadap harga komoditi di peringkat global.

Bagi perbandingan mingguan, ringgit diniagakan tidak berubah terhadap dolar AS pada 3.7760/7790 daripada 3.7660/7690, Jumaat lepas.

Sementara itu, unit tempatan itu juga diniagakan bercampur-campur dengan mata wang utama lain.

Ia hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 2.7997/7024 daripada 2.7996/7020 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen kepada 3.0684/0711 daripada 3.0516/0543, minggu lepas.

Ringgit, bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.9000/9054 daripada 5.9318/9369 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.1936/1977 daripada 4.2194/2235, Jumaat lepas.

- BERNAMA

Berita Harian X