Jumaat, 3 Julai 2015 | 6:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Surianie Mohd Hanif
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Surianie Mohd Hanif

KWAP akan sedia RM100 juta untuk pengurus dana

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang menyalurkan RM100 juta untuk diuruskan oleh pengurus dana, tambahan kepada RM1.2 bilion yang kini diuruskan pengurus dana sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata KWAP telah mengenal pasti pengurus dana dan kedua-dua pihak telah berbincang.

"Kami kini, lebih kurang, telah bersetuju mengenainya cuma ada beberapa kekangan operasi yang perlu diperbetulkan.

"Sebaik sahaja ia diselesaikan, dan jika lembaga pengarah meluluskannya, kami akan memberi suntikan RM100 juta, tambahan kepada RM1.2 bilion," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas mengumumkan penubuhan Majlis Pelabur Institusi Malaysia.

Mengenai aset luar negara, Wan Kamaruzaman berkata KWAP akan memanfaatkan kelemahan ringgit dengan meningkatkan aktiviti pelindungan nilai untuk menyekat kenaikan pertukaran asingnya dan membawa semula pulangan kepada dana.

Aset luar negara itu termasuk Pusat Beli Belah Intu Uxbridge, serta bangunan pejabat 18 tingkat 88 Wood Street dan 10 Gresham Street di London.

"Kami memperoleh pendapatan berulang yang baik daripada aset-aset ini memandangkan semua hartanah kami di UK mencatatkan hasil sewaan di atas enam peratus dan kami membawa balik pendapatan sewaan ini ke Malaysia mengikut tahunan," katanya.

Sementara itu, majlis yang baru ditubuhkan berkenaan akan memainkan peranan penting dalam mewakili kepentingan bersama pelabur institusi di Malaysia dan bertindak sebagai platform untuk mempengaruhi lingkungan tadbir urus korporat yang lebih luas.

Wan Kamaruzaman dilantik sebagai pengerusi majlis itu, manakala CEO Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Monoriti, Rita Benoy Bushon, sebagai Ketua Sekretariat dan anggota majlis.

Anggota majlis yang lain termasuk Timbalan CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pelaburan), Mohamad Nasir Ab Latif; Ketua Pegawai Strategi Permodalan Nasional Bhd, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf; dan Timbalan Pengarah Kumpulan dan CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

- BERNAMA

Berita Harian X