Khamis, 25 Jun 2015 | 2:38pm

Tony Fernandes mahu kembali aktif pulihkan AirAsia

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto REUTERS
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto REUTERS

SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu kakitangan dan penganalisis bahawa dia akan menghabiskan lebih banyak masa menguruskan syarikat penerbangan itu.

Dengan itu, beliau akan merehatkan sementara urusan perniagaan lain dan aktiviti sukannya, selepas terbit satu laporan baru-baru ini yang mempersoalkan akaun syarikat itu sehingga menyebabkan harga saham AirAsia merudum.

Tony berkata, beliau mahu memberi tumpuan untuk memulihkan masalah kewangan dihadapi syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia itu, mengikut penganalisis dan dua eksekutif AirAsia.

Penganalisis yang memantau syarikat penerbangan itu berkata, Tony memberitahu mereka bahawa dia dan Kamarudin Meranun, rakan kongsi perniagaan jangka panjangnya, akan menjadi lebih sibuk.

"Tony memberitahu kami dalam satu persidangan minggu lalu bahawa dia dan Kamarudin akan mengambil tempat untuk bersama dengan kakitangan yang lain dan memberi tumpuan kepada AirAsia," kata Mohsin Aziz, seorang penganalisis di Maybank Investment Bank di Kuala Lumpur.

"Dia kembali, dan dia akan lebih banyak terbabit dalam membuat keputusan," kata seorang eksekutif syarikat itu.

AirAsia, Tony dan Kamarudin tidak memberi maklum balas bagi mengulas mengenai isu itu.

Fernandes, antara tokoh korporat Asia, berjaya membina sebuah empayar perniagaan yang besar sepanjang sedekad lalu, termasuk memiliki kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers serta satu rangkaian hotel dan perniagaan insurans.

AirAsia adalah syarikat penerbangan antarabangsa yang mempunyai rekod pencapaian antara terburuk di dunia khususnya saham wajaran tinggi setakat tahun ini. Malah, harga saham syarikat itu susut mendadak melebihi 40 peratus sekali gus meletakkan nilai pasarannya sekitar RM4.5 bilion (AS$1.2 bilion).

Segelintir eksekutif syarikat itu mendakwa, Fernandes menurunkan kuasa operasi syarikat kepada ketua unit penerbangan masing-masing dan beliau jarang di pejabat untuk memantau operasi syarikat.

Kebimbangan mengenai ketiadaan beliau memantau operasi syarikat telah diburukkan lagi selepas laporan pada 10 Jun oleh GMT Research yang menyatakan AirAsia menggunakan urus niaga pihak berkaitan dengan merugikan syarikat penerbangan bersekutu bagi meningkatkan pendapatannya.

Saham AirAsia turun 24 peratus sejak laporan ini diterbitkan. -REUTERS

Berita Harian X