Isnin, 25 Mei 2015 | 3:45pm

UEM Edgenta selesa dengan kontrak semasa RM4.72b

PENGERUSI UEM Edgenta, Datuk Seri Ismail Shahudin (kanan) menjawab soalan media di sidang akhbar Majlis 52 Mesyuarat Agung tahunan UEM Edgenta. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Azmir Merican (kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGERUSI UEM Edgenta, Datuk Seri Ismail Shahudin (kanan) menjawab soalan media di sidang akhbar Majlis 52 Mesyuarat Agung tahunan UEM Edgenta. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Azmir Merican (kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin

PETALING JAYA: UEM Edgenta yang sebelum ini dikenali sebagai Faber Group Bhd, memperoleh kontrak baharu dari dalam dan luar negara bernilai RM4.72 bilion bagi 2014 dan 2015.

Antara kontrak itu ialah perkhidmatan pengurusan aset bernilai RM1.03 bilion bagi hospital wanita dan kanak-kanak untuk tempoh 27 tahun; enam kontrak penyelenggaraan dan operasi lebuh raya bagi Lembaga

Pengangkutan New Zealand bernilai lebih NZD35 juta untuk tempoh tujuh tahun akan datang; menaik taraf landasan KLIA dan perjanjian konsesi baharu 10 tahun bagi perkhidmatan sokongan hospital bernilai RM3.07 bilion.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Azmir Merican, berkata segmen perkhidmatan infrastruktur pada tahun ini kekal positif dengan jangkaan pertumbuhan daripada projek infrastruktur baharu, khususnya yang membabitkan pembinaan lebuh raya.

Pertumbuhan pendapatan syarikat tahun ini juga katanya, dijangka disumbang pelbagai projek yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, SKLIA Expressway dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam.

"Bahagian perniagaan itu juga dijangka mengukuhkan lagi kehadirannya di rantau ini dengan menerokai peluang perniagaan baharu untuk menyediakan perkhidmatan pengendalian dan penyelenggaraan Lebuhraya Cikampek-Paliman yang akan siap tidak lama lagi," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan UEM Edgenta di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi UEM Edgenta, Datuk Sri Ismail Shahudin.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, UEM Edgenta juga bakal meraih manfaat besar daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berikutan sebahagian besar daripadanya membabitkan projek infrastruktur.

Beliau turut menerangkan struktur baharu syarikat susulan gabungan tiga entiti bernilai RM1.15 bilion sebelum ini.

Entiti itu ialah Faber Group Bhd, Opus Group Bhd dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Bhd (PROPEL).

Kini UEM Edgenta mempunyai enam unit perniagaan teras iaitu perkhidmatan perundingan aset; perkhidmatan infrastruktur; pengurusan kesihatan; perkhidmatan industri; perkhidmatan fasiliti dan perkhidmatan tenaga.

Bagi tahun kewangan 2014, tahun pertama penggabungannya, UEM Edgenta meraih pendapatan sebanyak RM3.1 bilion mewakili peningkatan 14.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Operasi di Malaysia menyumbang 53 peratus kepada pendapatan kumpulan tahun lalu, manakala penyumbang terbesar luar negara ialah New Zealand sebanyak 25 peratus.

UEM Edgenta beroperasi di 10 negara. Ia memperuntukkan RM120 juta sebagai perbelanjaan modal untuk tahun ini.

Berita Harian X