Jumaat, 15 Mei 2015 | 7:14pm

Saham KL ditutup tinggi susulan data ekonomi positif

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan beberapa data ekonomi tempatan yang positif termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama.

Pada 5 petang hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.37 mata kepada 1,811.92, selepas bergerak antara 1,802.05 dan 1,811.92 sepanjang hari.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata angka KDNK, dan Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPI) yang pulih pada Mac kepada 6.9 peratus tahun ke tahun berbanding prestasi lemah yang bermusim pada bulan sambutan Tahun Baru Cina, menunjukkan keluaran ekonomi berdaya tahan walaupun ketidaktentuan dilihat pada ringgit dan harga komoditi.

"Data KDNK Malaysia menjadi berdaya tahan walaupun banyak cabaran seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta ketidaktentuan ringgit dan harga minyak.

"Keluaran pembuatan yang menyumbang kira-kira dua pertiga IPI, turut berprestasi lebih baik berbanding jangkaan (sehingga 6.3 peratus tahun ke tahun) menandakan eksport yang teguh dan lebihan luaran," katanya.

Sementara itu, beliau berkata rizab Bank Negara Malaysia juga kekal baik pada RM392.4 bilion pada 30 April, 2015, cukup untuk membiayai 8.0 import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negara jangka pendek.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas naik 29.23 mata kepada 12,495.95, Indeks FBMT100 melonjak 29.17 mata kepada 12,171.33 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 53.779 mata kepada 12,996.85.

FBM Ace menambah 60.98 mata kepada 7,062.56 dan FBM 70 meningkat 31.78 mata kepada 13,536.11.

Indeks Kewangan naik 28.82 mata kepada 16,087.78, Indeks Perladangan menokok 15.05 mata kepada 7,517.71 dan Indeks Perusahaan meningkat 19.45 mata kepada 3,274.05.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 411 berbanding 358, dengan 334 kaunter tidak berubah, 701 kaunter tidak diniagakan dan 13 kaunter lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 1.74 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Khamis.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik empat sen kepada RM9.32 dan RM19.20, TNB menokok 16 sen kepada RM14.04 dan Sime Darby menambah dua sen kepada RM9.04. Axiata turun empat sen kepada RM6.75.

Antara saham aktif, Malakoff yang disenaraikan semula di Pasaran Utama, dan Perdana Petroleum masing-masing tidak berubah pada RM1.80 dan RM1.50.

K-One naik lima sen kepada 61.5 sen, MPay menokok 1.5 sen kepada 36 sen manakala Kanger turun 1.5 sen kepada 22 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.1 bilion saham bernilai RM1.67 bilion daripada 886.01 juta saham bernilai RM1.59 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 553.73 juta saham bernilai RM150.76 juta daripada 588.17 juta saham bernilai pada RM154.09 semalam.

Waran susut kepada 83.24 juta unit bernilai RM23.69 juta daripada 98.5 juta unit bernilai RM41.01 juta sebelum ini.

Barangan pengguna menyumbang 70.05 juta saham didagangkan di pasaran utama, barangan perusahaan (200.87 juta), pembinaan (47.81 juta), dagangan dan perkhidmatan (609.43 juta), teknologi (52.14 juta), infrastuktur (9.19 juta), SPAC (6.57 juta), kewangan (42.74 juta), hotel (1.84 juta), hartanah (56.19 juta), perladangan (9.48 juta), perlombongan (nil), REIT (1.77 juta) dan tertutup/dana (46,600).

- BERNAMA

Berita Harian X