Selasa, 28 April 2015 | 3:20pm

JCorp sasar kumpul RM2b aset menerusi Al-Salam REIT

MENTERI Besar Johor merangkap Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Datuk Seri Khaled Nordin menyaksikan majlis menandatangani penubuhan As Salam REIT antara (dari kiri) Naib Pengerusi Damansara Asets Sdn Bhd, Lokman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Rraya Trustee Berhad Habsah Bakar dan Pengarah Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd Mohamed Izaham Abdul Rani hari ini.Jcorp dan dua anak syarikat menubuhkan As Salam RIET bagi menguruskan aset hartanah diselia Amanah Raya Berhad. - Foto BERNAMA
MENTERI Besar Johor merangkap Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Datuk Seri Khaled Nordin menyaksikan majlis menandatangani penubuhan As Salam REIT antara (dari kiri) Naib Pengerusi Damansara Asets Sdn Bhd, Lokman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Rraya Trustee Berhad Habsah Bakar dan Pengarah Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd Mohamed Izaham Abdul Rani hari ini.Jcorp dan dua anak syarikat menubuhkan As Salam RIET bagi menguruskan aset hartanah diselia Amanah Raya Berhad. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Johor Corporation (JCorp) menyasar untuk mengumpul aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM2 bilion menerusi Tabung Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islam dikenali Al-Salam REIT dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi pengambilalihan pelbagai aset berpotensi di dalam dan luar negara dalam tempoh berkenaan.

"Selepas penyenaraian Al-Salam REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada suku ketiga tahun ini, kami menyasar untuk mengumpul aset bernilai RM2 bilion dalam masa tiga tahun akan datang.

"Bagi mencapai sasaran itu, kami akan terus meninjau peluang untuk mengambilalih aset yang berpotensi di Malaysia dan luar negara," katanya kepada media selepas majlis memerai perjanjian penubuhan Al-Salam REIT di sini hari ini.

Pada majlis itu JCorp diwakili Pengarah Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR), Izaham Abd Rani dan Timbalan Pengerusi Damansara Assets Sdn Bhd (DASB), Lukman Abu Bakar manakala Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya Trustees Bhd (ART), Habsah Bakar menandatangani perjanjian bagi pihak pemegang amanah REIT itu.

Ia disaksikan oleh oleh Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi JCorp, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Kamaruzzaman; dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Bhd, Datuk Abd Rahman Md Khalid.

Al-Salam REIT mendapat kelulusan penubuhan daripada Sekuriti Malaysia (SC) pada 18 Februari dan pada 30 Mac, dana amanah itu berjaya ditubuhkan dengan pendaftaran Surat Ikatan Amanah diserahkan kepada SC.

Menerusi dana REIT itu, DASB dan QSR bertindak sebagai vendor yang akan menjual aset yang bakal dimiliki oleh Al-Salam REIT, manakala Damansara REIT Managers Sdn Bhd (DRMSB) menjadi pengurus REIT berkenaan.

Al-Salam REIT dilancarkan dengan saiz dana permulaan kira-kira RM908 juta, merangkumi 31 aset yang diambil alih daripada dua anak syarikat JCorp iaitu DASB dan QSR.

REIT yang akan menawarkan 580 juta unit saham kepada pelabur berminat itu akan memberi fokus kepada pelbagai aset patuh Syariah yang antara lain merangkumi aset peruncitan komersial, pejabat dan aset industri.

Antara aset utama milik DASB yang akan diambilalih oleh Al-Salām REIT ialah Menara KOMTAR, Pasaraya @mart, KFCH International College dan KOMTAR JBCC selain sebuah pusat beli-belah baharu di Johor Bahru.

Bagi aset QSR pula, dana amanah hartanah itu akan mengambilalih rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di seluruh negara.

Kamaruzzaman berkata, dalam tempoh 12 bulan selepas penyenaraian Al-Salam REIT di Bursa Malaysia, JCorp menyasar untuk mengumpul aset berjumlah RM1.5 bilion, meningkat kira-kira RM500 juta daripada RM908 juta ketika ia dilancarkan.

"Al-Salam REIT menawarkan pulangan enam hingga 6.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan kami menjangkakan ia akan terus meningkat pada tahun berikutnya," katanya.

JCorp menjangkakan prospektus Al-Salam REIT akan dilancarkan pada Jun ini.

Al-Salam REIT adalah dana kedua dilancarkan JCorp selepas melancarkan Al-'Aqar Healthcare REIT (Al-'Aqar) pada tahun 2006.

Al-'Aqar yang memberi tumpuan kepada aset berkaitan penjagaan kesihatan ketika ini mengumpul AUM berjumlah RM1.5 bilion.

Berita Harian X