Jumaat, 17 April 2015 | 6:56pm

Saham KL ditutup 2.08 mata lebih rendah

KUALA LUMPUR: Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah hari ini walaupun mencatat keuntungan pada awal dagangan berikutan aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI ditutup pada 1,845.86, susut 2.08 mata selepas turun naik antara 1,852.95 dan 1,845.09. Public Bank adalah penyumbang utama kepada indeks komposit hari ini, menokok 22 sen kepada RM19.46, dengan 6.95 juta saham bertukar tangan, manakala Genting Group mengheret turun indeks.

Genting Bhd susut 20 sen kepada RM8.77 manakala Genting Malaysia rugi 12 sen kepada RM4.47. Kaunter lain yang turut merosot termasuk IOI Corporation, yang turun 11 sen kepada RM4.50, manakala TNB susut 10 sen kepada RM14.40.

Berdasarkan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi yang rugi sebanyak 493 berbanding 334, dengan 357 kaunter tidak berubah, 624 tidak diniagakan dan 20 lagi digantung.

Seorang pedagang kanan berkata pelabur menyimpan keuntungan baru-baru ini manakala yang lain enggan memasuki pasaran menjelang hujung minggu.

Menurutnya keyakinan pelabur dalam pasaran hutang Malaysia akan memberi kesan limpahan kepada Bursa minggu depan.

"Lebihan langgan ke atas Sukuk jangka panjang Kerajaan Malaysia pada Khamis membuktikan keyakinan pelabur dunia dalam sistem kewangan Malaysia, yang akan membawa kesan limpahan ke Bursa," katanya sambil menambah dana asing muncul semula sebagai pembeli bersih, semalam.

Jumlah dagangan di Bursa hari ini sebanyak 2.58 bilion saham bernilai RM2.28 bilion, susut berbanding 2.70 bilion saham bernilai RM2.52 bilion pada Khamis.

Indeks FBM Emas susut 3.91 mata kepada 12,724.26, Indeks FBMT100 turun 8.53 mata kepada 12,388.40 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 5.77 mata kepada 13,264.36.

FBM 70 bagaimanapun meningkat 11.61 mata kepada 13,736.17, dan FBM Ace menokok 26.82 mata kepada 7,301.08. Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 15.80 mata kepada 16,347.90, Indeks Perladangan merosot 37.09 mata kepada 7,736.47 manakala Indeks Perusahaan turun 6.61 mata kepada 3,405.98.

Antara saham aktif, Bioalpha menokok 9.5 sen kepada 38.5 sen, Frontken menambah satu sen kepada 25.5 sen, manakala Xinghe, Talam dan R&A Telecommunication tidak berubah masing-masing pada 7.5 sen, 8 sen dan 4 sen manakala Pesona Metro meningkat 7.5 sen kepada 88.5 sen. Pharmaniaga mengetuai kaunter paling untung, meningkat 44 sen kepada RM6.80 manakala Nestle adalah kaunter paling rugi apabila turun 98 sen kepada RM74.50.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.63 bilion unit bernilai RM2.02 bilion berbanding 1.67 bilion unit bernilai RM2.29 pada Khamis. Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 898.78 juta saham bernilai RM253.46 juta berbanding 930.78 juta saham bernilai RM216.54 juta semalam. - BERNAMA

Berita Harian X