Ahad, 5 April 2015 | 5:03pm

Tuntutan insurans hayat RM8.42b tahun lalu

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan industri insurans hayat pada 2015 dianggarkan antara lima hingga 10 peratus dalam perlindungan insurans, sejajar dengan tahun-tahun sebelum ini, kata bekas Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo.

Industri insurans hayat mencatat pertumbuhan 6.9 peratus dalam perlindungan insurans berjumlah RM1.17 trilion pada 2014 berbanding RM1.09 trilion pada 2013.

Jumlah premium tahun lalu menyaksikan kenaikan 9.3 peratus dan Kwo menjangka ia akan mencatat jumlah yang hampir sama tahun ini, antara lima hingga 10 peratus.

Pertumbuhan industri insurans hayat sering ditonjolkan, tetapi jarang sekali mengenai berapa banyak industri itu membayar balik kepada pengguna.

"Industri itu membayar balik dengan jumlah yang agak tinggi dari segi bayaran tuntutan, tuntutan perubatan serta bonus kepada pelanggan yang berjumlah RM8.42 bilion tahun lalu berbanding RM6.94 bilion pada 2013," katanya.

Katanya, insurans hayat dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kwo berkata, antara produk bebas GST ialah insurans seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan serta anuiti. Bagaimanapun premium untuk rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri tertakluk kepada GST.

Rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak dilindungi kematian semula jadi. Walaupun premium untuk polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan GST, yuran dan caj dikenakan ke atas polisi terbabit seperti yuran polisi tertakluk kepada GST.

"Syarikat insurans hayat sebenarnya tidak melepaskan kos CBP kepada pengguna tetapi faedah bukan hayat di dalam insurans hayat dikenakan kadar standard CBP.

"Itu adalah konsisten dengan insurans am, semata-mata di bahagian perlindungan, termasuk rider bukan hayat yang tertakluk kepada CBP," katanya.

Kwo juga menegaskan yang satu strategi adalah penting untuk mencapai kadar penembusan insurans yang lebih tinggi di negara ini.

"Hari ini insurans hayat dan takaful keluarga menawarkan perlindungan insurans kepada 55.5 peratus rakyat Malaysia.

"Kerajaan telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 75 peratus penduduk negara ini dilindungi insurans menjelang 2020," kata Kwo.

Kwo berkata, strategi terbabit termasuk menembusi kawasan luar bandar kerana ketika ini tumpuan hanya diberikan di kawasan bandar.

LIAM mempunyai 16 anggota, 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat. - BERNAMA

Berita Harian X