Sabtu, 21 March 2015 | 10:44am

Ringgit terus merosot minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka merosot lagi kepada sekitar 3.75 minggu depan berikutan pengukuhan dolar AS dan kejatuhan harga komoditi.

Ketua Penyelidikan Runcit dan Naib Presiden Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata reaksi daripada pelabur bon ke atas potensi penurunan gred oleh Fitch and Moody's juga menyebabkan kelemahan ringgit.

"Bagaimanapun, saya masih percaya mata wang tempatan tersangat dikurang nilai dan tidak mencerminkan asas ekonomi kita," katanya.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah berikutan isu 1MDB dan kebimbangan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah.

Sesetengah penganalisis menjangka kadar faedah AS akan dinaikkan pertengahan tahun ini untuk pertama kali dalam lapan tahun yang akan menjejaskan ringgit dan mata wang lain di pasaran sedang muncul di Asia.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit mencecah paras terendah dalam enam tahun pada Jumaat pada 3.72 berbanding dolar AS berikutan data inflasi Februari menunjukkan yang terendah dalam tempoh lebih daripada lima tahun.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 3.7255/0285 berbanding 3.6840/6870 dolar AS sebelum ini.

Ia jatuh kepada 2.6825/6849 berbanding dolar Singapura daripada 2.6584/6623 minggu lepas dan turun kepada 3.0802/0837 berbanding yen daripada 3.0343/0373 Jumaat lepas.

Berbanding pound Britain, ringgit merosot kepada 5.4932/4988 daripada 5.4807/4874 dan diniaga lebih rendah berbanding euro pada 3.9811/9858 daripada 3.9117/9156.

- BERNAMA

Berita Harian X