Selasa, 10 March 2015 | 7:25pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Amalan kawal selia yang baik penting bagi AEC - Mustapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menjadikan Amalan Kawal Selia Yang Baik (GRP) sebagai satu kunci utama kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bagi mencerminkan kepentingan mempunyai pertumpuan kawal selia serantau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata meningkatkan proses kecekapan dasar dan kawal selia akan menggalakkan produktiviti dalam kalangan anggota ASEAN.

"Ia sebahagian besarnya akan mengurangkan beban kawal selia ke atas perniagaan dengan meningkatkan kualiti peraturan sedia ada dan memastikan peraturan baharu berkualiti.

"Pelaksanaan GRP adalah sistemik, membabitkan kedua-duanya iaitu penyertaan atas ke bawah dan dari bawah ke atas, dengan penekanan terhadap ketelusan dan akauntabiliti melalui rundingan awam serta penyertaan pihak terbabit dan pemegang kepentingan yang dipengaruhi oleh perubahan, atau pengenalan peraturan dan polisi," katanya.

Mustapa berucap pada pembukaan Persidangan Amalan Kawal Selia Yang Baik ASEAN-Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2015, yang bermula di sini semalam, sempena Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

Persidangan selama empat hari itu bertujuan mewujudkan persefahaman dalam kalangan anggota ASEAN mengenai peranan penting GRP bagi menggalakkan penyepaduan ekonomi serantau dan global yang lebih erat tanpa diskriminasi. - BERNAMA

Berita Harian X