X
Khamis, 5 March 2015 | 4:16pm

MK Land lancar 2 projek tahun ini

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, MK Land Holdings Bhd, akan melancarkan dua projek pada tahun ini dengan gabungan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM600 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lau Shu Chuan.

"Masih terdapat yang menunggu kelulusan berkaitan dengan projek tetapi sebaik kami memperolehnya, kami akan melancarkan projek-projek itu antara April dan Jun," katanya kepada pemberita pada sambutan Tahun Baru Cina syarikat itu di sini hari ini.

Projek itu terdiri daripada apartmen berperkhidmatan bernilai RM450,000 ke atas di Damansara Damai dan apartmen di Damansara Perdana, berharga lebih RM600,000 seunit.

Beliau berkata, kawasan itu kekal lokasi terbaik yang dicari pembeli rumah, sama ada untuk diduduki atau pelaburan.

"Ini berikutan kawasan itu mempunyai akses yang mudah, dan kami berharap projek itu akan mendapat jualan yang baik dan menyumbang secara positif kepada suku akan datang," katanya.

MK Land baru-baru ini melaporkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM13.22 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember, 2014, berikutan perolehan rendah daripada pembangunan hartanah dan perniagaan liburan.

Lau berkata, jualan produknya lembap walaupun pada separuh kedua tahun lepas berikutan minat pengguna beralih daripada hartanah mewah kepada hartanah mampu milik.

Menyedari keadaan itu, beliau berkata MK Land akan mengimbangi campuran produknya sebagai usaha untuk bertahan dalam pasaran apabila 70-80 peratus daripada jualan adalah dari Lembah Klang.

Lau juga berkata, MK Land ketika ini merancang projek perumahan mampu milik yang lain di Meru Perdana, Klebang Putra dan Lembah Beriah di Perak.

- BERNAMA

Berita Harian X