Ahad, 22 Februari 2015 | 2:36pm

Mapex 2015 himpun pembeli hartanah generasi muda

PENGUNJUNG melihat pameran Mapex 2015 di Hotel Gurney, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
PENGUNJUNG melihat pameran Mapex 2015 di Hotel Gurney, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

GEORGETOWN: Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) 2015 yang diadakan di sini menarik ramai pasangan muda yang mencari hartanah yang sesuai untuk pelaburan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Pulau Pinang Datuk Jerry Chan berkata, pameran yang bertemakan, 'Tahun Baharu, Rumah Baharu' itu, telah membantu ramai pembeli rumah di negara ini membeli rumah impian mereka pada harga berpatutan.

"Ia turut membantu menjana permintaan terhadap perumahan dan memastikan pertumbuhan industri perumahan dan hartanah mampan," katanya dalam ucapannya pada pelancaran Mapex 2015 di sini, semalam.

Chan berkata, REHDA cawangan Pulau Pinang telah melalui perjalanan yang panjang untuk menjadi suara utama bagi industri perumahan dan hartanah.

"REHDA telah berbincang dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi industri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta peningkatan kos pematuhan dan pembinaan.

"Sebagai sebuah industri, industri perumahan dan hartanah berkongsi misi dan visi kerajaan dalam menyediakan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, satu daripada caranya ialah menyemak semula garis panduan nisbah plot hartanah kediaman untuk membolehkan pemaju menurunkan kos pembinaan dan seterusnya menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

"REHDA Pulau Pinang menyedari kepentingan untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya masyarakat yang kurang bernasib baik. Kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai entiti penyayang dan bertanggungjawab melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)," katanya.

Mapex Pulau Pinang, merupakan anjuran bersama REHDA Pulau Pinang dan Henry Butcher Malaysia Pulau Pinang, bermula semalam sehingga Selasa ini.

Antara 13 peserta utama pameran itu ialah IJM Land Bhd, Chong Co Sdn Bhd, IOI Properties Sdn Bhd dan Ideal Properties Sdn Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X