Selasa, 17 Februari 2015 | 1:03pm
EKONOMI Singapura berkembang 2.9 peratus pada 2014, lebih perlahan berbanding 4.4 peratus pada 2013, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini. - Foto hiasan/AFP
EKONOMI Singapura berkembang 2.9 peratus pada 2014, lebih perlahan berbanding 4.4 peratus pada 2013, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini. - Foto hiasan/AFP

Ekonomi Singapura naik 2.9 peratus pada 2014

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang 2.9 peratus pada 2014, lebih perlahan berbanding 4.4 peratus pada 2013, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini.

Ia turut mengekalkan unjuran pertumbuhan antara 2.0 dan 4.0 peratus pada 2015.

Dalam satu kenyataan MTI berkata ekonomi Singapura berkembang 2.1 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2014, susut berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada suku sebelumnya.

Berdasarkan asas tahunan diselaraskan mengikut musim suku ke suku, ia berkata ekonomi tumbuh lebih tinggi iaitu sebanyak 4.9 peratus berbanding 2.6 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan dalam sektor pembuatan meningkat daripada 1.7 peratus pada 2013 kepada 2.6 peratus pada 2014, disokong oleh kelompok pembuatan bioperubatan dan kimia.

Sebaliknya, pertumbuhan sektor pembinaan menyederhana kepada 3.0 peratus berbanding 6.3 peratus pada 2013, diheret turun oleh aktiviti pembinaan sektor swasta.

Industri pengeluaran perkhidmatan meningkat 3.2 peratus pada 2014, susut berbanding pertumbuhan 6.1 peratus pada 2013.

Pertumbuhan sebahagian besarnya disokong oleh sektor perkhidmatan kewangan dan insurans serta perkhidmatan perniagaan, yang masing-masing mencatat pertumbuhan 7.7 peratus dan 2.9 peratus.

Sektor pemborongan dan peruncitan, pengangkutan dan penyimpanan serta komunikasi meningkat masing-masing sebanyak 1.7 peratus, 1.7 peratus dan 3.6 peratus.

MTI berkata unjuran ekonomi dunia semakin perlahan sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan pertumbuhan pada 2015 dijangkakan hanya meningkat pada kadar yang marginal daripada 2014.

Ia berkata tahap pemulihan ekonomi juga dijangkakan tidak sekata merentas ekonomi, dengan ekonomi Amerika Syarikat sebagai ekonomi utama paling cerah.

Zon Euro dijangka terus lemah disebabkan kedudukan pasaran buruh yang merosot serta tekanan deflasi, manakala pertumbuhan China juga dijangkakan semakin perlahan pada 2015 disebabkan aktiviti hartanah yang lemah, walaupun penurunan itu dijangka dapat dibendung.

Walaupun kejatuhan harga minyak pula akan memberi manfaat kepada ekonomi yang mengimport minyak, ia menjejaskan prospek pertumbuhan dalam ekonomi pengeksport minyak.

Pada masa yang sama, unjuran luar masih tidak menentu dengan risiko penurunan dan ketidaktentuan.

Dalam kedudukan ekonomi dunia yang mencabar ini, MTI berkata sektor berorientasikan luaran seperti pembuatan dan pemborongan dijangka menghadapi cabaran besar, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X