Khamis, 29 Januari 2015 | 11:25am

CEO McDonald's berundur selepas syarikat lalui tempoh sukar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McDonald's, Donald Thompson. - Foto Bloomberg News
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McDonald's, Donald Thompson. - Foto Bloomberg News

NEW YORK: McDonald's Corp, pemilik rangkaian restoran makanan segera terbesar dunia mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Don Thompson akan bersara hujung bulan depan dan digantikan Ketua Pegawai Jenama, Steve Easterbrook.

Saham syarikat itu yang lemah berbanding pesaing di pasaran sejak beberapa bulan lalu, naik 3.2 peratus dalam sesi dagangan tambahan malam tadi berikutan pengumuman persaraan Thompson.

Thompson, 51, bekas presiden McDonald's USA dan mengambil alih teraju kepimpinan syarikat di peringkat global pada Julai 2012, menggalas cabaran untuk menambah baik prestasi jualan baik selama sembilan tahun yang dicatatkan rangkaian restoran berkenaan.

Bagaimanapun, menjelang September tahun sama McDonald's melaporkan penyusutan jualan di setiap premis ketika jenama itu bergelut untuk memenuhi perubahan selera pengguna serta berhadapan dengan tekanan luaran merangkumi politik, ekonomi hinggalah ketakutan mengenai tahap kebersihan makanan di China.

"Saya tidak rasa berita itu sangat mengejutkan. Mungkin masa ia diumumkan, bukannya tindakan yang terbabit," kata penganalisis di Sanford Bernstein, Sara Senatore.

"Perkara ini sudah lama dibincangkan kalangan peserta pasaran," tambahnya.

Minggu lalu McDonald's dalam kenyataannya mengisyaratkan perniagaannya akan lemah dalam separuh pertama 2015 dan akan memotong bajet pembinaan tahunan ke tahap terendah dalam tempoh lebih lima tahun kerana syarikat mengurangkan pembukaan restoran baharu.

Dalam pada itu, syarikat itu dalam kenyataannya menyebut, sejajar peranannya sebagai ketua pegawai jenama, Easterbrook memperkemas inisiatif digital kumpulan itu untuk menyemarakkan inovasi menu.

Pemerhati pasaran berkata Easterbrook mempunyai rekod baik memulihkan perniagaan McDonald's di United Kingdom.

Mengikut laporan Guardian pada 2008, perniagaan di UK sudah mendatar dan tidak berkembang pada awal tahun 2000, tetapi pulih kembali selepas Easterbrook mengambil alih sebagai CEO pada 2006.

"UK adalah pasaran baik untuk tempoh agak lama, tetapi tidak selamanya," kata Senatore.

Beliau memainkan peranan memulihkan syarikat, tetapi bolehkah beliau pulihkan jenama syarikat terutama di Amerika Syarikat apabila McDonald's semakin ketinggalan kepada pesaing seperti Five Guys Burgers and Fries, Chipotle Mexican Grill dan beberapa syarikat kecil lain serta premis makanan serantau yang menawarkan hidangan lebih segar dan menyihatkan.

Begitupun, Easterbrook memang ada pengalaman menguruskan rangkaian restroran lain. Beliau meninggalkan McDonald's pada 2011 dan menguruskan beberapa jenama seperti PizzaExpress LTD dan Wagamama Ltd, sebelum kembali kepada McDonald's pada 2013.

McDonald's adalah rangkaian restoran makanan segera terbesar dunia dengan 14,000 premis di AS dan 36,000 di seluruh dunia. - Reuters

Berita Harian X