Rabu, 7 Januari 2015 | 2:51pm

Qantas syarikat penerbangan paling selamat untuk 2015

LAMAN sesawang airlinerating. - Foto ihsan http://www.airlineratings.com/
LAMAN sesawang airlinerating. - Foto ihsan http://www.airlineratings.com/

KUALA LUMPUR: Qantas sekali lagi menerajui senarai 10 syarikat penerbangan dan syarikat penerbangan kos rendah paling selamat untuk 2015 daripada 449 syarikat yang dipantau AirlineRating.com.

Dalam sejarah 94 tahun syarikat penerbangan itu, Qantas sudah mencatat rekod luar biasa pada kedudukan pertama dalam aspek keselamatan dan operasi, sekali gus kini diterima sebagai syarikat penerbangan paling berpengalaman di dunia.

Sistem penarafan itu mengambil kira audit berkaitan daripada agensi pengawal seliaan, pertubuhan utama industri penerbangan dan audit kerajaan serta rekod kemalangan syarikat penerbangan itu, kata AirlineRating.com, satu-satunya laman sesawang mengenai penarafan keselamatan dan produk dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Perth, Australia hari ini.

Syarikat lain yang turut ditampilkan dalam senarai itu dalam susunan mengikut abjad ialah; Air New Zealand, Cathay Pacific Airways, British Airways, Emirates, Etihad Airways, EVA Air, Finnair, Lufthansa dan Singapore Airlines.

"Qantas menjadi peneraju dalam pelbagai aspek keselamatan penerbangan sejak 60 tahun lalu," kata pengarang AirlineRating.com, Geoffrey Thomas, dalam kenyataan sama.

Selain daripada senarai 10 syarikat penerbangan paling selamat, laman sesawang itu juga menyenaraikan 10 syarikat penerbangan kos rendah paling selamat yang mana sembilan lagi syarikat mengikut susunan abjad adalah; Aer Lingus, Alaska Airlines, Icelandair, Jetstar (anak syarikat Qantas), Jetblue, Kulula.com, Monarch Airlines, Thomas Cook, TUI Fly dan Westjet.

"Tidak seperti kebanyakan syarikat penerbangan kos rendah lain, syarikat penerbangan berkenaan sudah melepasi syarat ketat Audit Keselamatan Operasi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IOSA) serta mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang," katanya.

Daripada 449 syarikat penerbangan yang dipantau, hanya 149 mendapat penarafan keselamatan tujuh bintang manakala 50 hanya mendapat tiga bintang atau kurang. Lima syarikat penerbangan hanya mendapat satu bintang untuk keselamatan daripada AirlineRating.com iaitu Agni Air, Kam Air, Nepal Airlines, Scat dan Tara Air. - BERNAMA

Berita Harian X