Sabtu, 3 Januari 2015 | 1:38pm

Saham KL dijangka terus rendah

KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia dijangka terus rendah minggu depan dengan pasaran lengang dalam keadaan sentimen berhati-hati menjelang laporan perdagangan, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pasaran lengang disebabkan kebanyakan peniaga masih bercuti susulan cuti persekolahan dilanjutkan.

Beliau juga mengunjurkan pasaran lebih berhati-hati memandangkan data perdagangan November dijangka diterbitkan sebelum minggu berakhir.

"Ada kemungkinan data memaparkan angka yang lemah (dalam pertumbuhan perdagangan). Jika ia defisit, ia menjadi defisit pertama sejak 1998," katanya.

Beliau berkata, kelembapan pertumbuhan perdagangan akan melemahkan nilai ringgit, sekali gus menjejaskan pasaran ekuiti.

Ketika ditutup Jumaat, ringgit menyusut 3.5150/5170 berbanding dolar AS daripada 3.4950/4980 pada Rabu.

Bagi asas minggu ke minggu, indeks penanda aras ditutup 11.67 mata lebih rendah pada 1,752.77 daripada minggu lepas dalam sesi dagangan yang disulam cuti sambutan tahun baharu pada Khamis dan pasaran ditutup.

Indeks FBM Emas susut 66.36 mata kepada 12,035.85, Indeks FBMT100 turun 71.19 mata kepada 11,776.58 dan FBM 70 jatuh 51.04 mata kepada 13,107.07 manakala FBM Ace meningkat 31.52 mata kepada 5,710.08.

Dari segi sektor, Indeks Perusahaan susut 22.24 mata kepada 3,156.74, Indeks Kewangan jatuh 54.08 mata kepada 15,661.94 dan Indeks Perladangan turun 19.84 mata kepada 7,810.95.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.31 bilion unit bernilai RM5.48 bilion daripada 4.99 bilion unit bernilai RM5.17 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.98 bilion saham bernilai RM5.17 bilion daripada 3.55 bilion saham bernilai RM4.84 bilion sebelum ini.

Waran pula menyusut kepada 455.79 juta unit bernilai RM101.22 juta daripada 536.13 juta bernilai RM98.96 juta.

Jumlah dagangan pasaran ACE menokok kepada 874.78 juta saham bernilai RM206.75 juta daripada 890.53 juta saham bernilai RM223.98 juta sebelum ini.

- BERNAMA

Berita Harian X