Sabtu, 3 Januari 2015 | 10:21am
RINGGIT dijangkakan terus lemah berbanding dolar AS minggu depan, disebabkan harga komoditi yang rendah yang akan memacu pelabur untuk memilih mata wang yang lebih selamat, kata seorang peniaga. - Foto hiasan
RINGGIT dijangkakan terus lemah berbanding dolar AS minggu depan, disebabkan harga komoditi yang rendah yang akan memacu pelabur untuk memilih mata wang yang lebih selamat, kata seorang peniaga. - Foto hiasan

Ringgit terus lemah berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan terus lemah berbanding dolar AS minggu depan, disebabkan harga komoditi yang rendah yang akan memacu pelabur untuk memilih mata wang yang lebih selamat, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, pelabur juga berhati-hati terhadap pengumuman data dagangan Malaysia yang dijadual dikeluarkan pada 10 Januari yang dijangkakan mencatat defisit pertama sejak 1998.

"Ini akan menyebabkan ringgit terus lemah," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit susut kepada 3.5150/5170 berbanding dolar AS daripada 3.4890/4920 Jumaat lepas.

Sentimen 'beli dolar' terus mendominasi dagangan di pasaran tempatan yang memperlihatkan dolar meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun pada akhir dagangan minggu ini.

Ketegangan politik di Greece juga menyebabkan lebih ramai pelabur beralih ke mata wang lebih selamat.

Ringgit didagangkan pada paras rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia rendah berbanding yen kepada 2.9202/9228 daripada 2.8986/8023 Jumaat lepas dan lemah berbanding pound British kepada 5.4588/4630 daripada 5.4264/4325 sebelumnya.

Unit tempatan bagaimanapun mengukuh berbanding euro kepada 4.2345/2380 daripada 4.2538/2578 Jumaat lepas dan lemah berbanding dolar Singapura pada 2.6450/6471 berbanding 2.6400/6433 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X