Khamis, 18 Disember 2014 | 6:01pm

FGV terima anugerah tadbir urus baik daripada MSWG

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menerima anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Industri - Perladangan daripada Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG), organisasi penyelidikan bebas mengenai tadbir urus korporat.

Dalam satu kenyataan di sini, FGV berkata anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pengumuman Indeks Ketelusan Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN, Penemuan dan Pengiktirafan 2014 baru-baru ini.

"FGV berkedudukan ke-17 dalam kategori Tadbir Urus Korporat 2014 daripada 100 syarikat senarai awam di negara ini," kata syarikat itu.

Berdasarkan penemuan MSWG 2014, Indeks Ketelusan 100 syarikat senarai awam utama Malaysia naik kepada 76.43 peratus daripada 75.99 tahun lalu.

Pada majlis lain, subsidiari FGV, Felda Prodata System Sdn Bhd (Prodata) dinamakan Majikan Baharu Terbaik 2014 oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia.

Anugerah itu bagi mengiktiraf prestasi Prodata dalam perkhidmatan perkongsian MSC dan sektor penyumberan luar dalam kalangan syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC). - BERNAMA

Berita Harian X