Khamis, 20 November 2014 | 7:05pm

Pembeli rumah PR1MA ditawar pinjaman 110 peratus

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib. - Foto Halim Salleh
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib. - Foto Halim Salleh

SUBANG: Pembeli rumah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) ditawarkan pinjaman hingga 110 peratus daripada institusi kewangan terpilih, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Mutalib Alias.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi membolehkan semua pemohon mampu membeli rumah, manakala lebihan 10 peratus pembiayaan dapat digunakan untuk menampung pelbagai kos sampingan seperti insurans dan yuran guaman.

Selain tawaran pinjaman hingga 110 peratus, PR1MA turut menawarkan satu lagi kemudahan bagi membantu golongan pertengahan untuk memiliki rumah iaitu Skim Sewa Beli atau Rent-To-Own (RTO) menerusi kerjasama strategik dengan panel institusi kewangan.

"Pakej ini disediakan melalui bank serta institusi kewangan panel PR1MA yang pada masa ini merangkumi Maybank, CIMB dan MBSB.

"Selain itu, bayaran balik ansuran pinjaman perumahan ini pula hanya akan dimulakan selepas tamat pembinaan dan kunci rumah diserahkan kepada pembeli yang turut dilindungi takaful (MRTT)," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

PR1MA dipertanggungjawab kerajaan untuk membangunkan perumahan mampu milik bagi golongan pertengahan di Malaysia, menyasarkan pembinaan 500,000 unit dalam tempoh lima tahun.

Abdul Mutalib berkata, setakat ini 830,000 pemohon sudah mendaftar untuk membeli rumah PR1MA dan pihaknya sudah mendapat kelulusan untuk membina lebih 100,000 unit rumah di seluruh negara.

Rumah PR1MA adalah terbuka kepada individu atau keluarga (suami dan isteri) dengan pendapatan purata bulanan isi rumah antara RM2,500 hingga RM 10,000.

Setakat ini, program PR1MA sudah meliputi semua negeri kecuali Labuan.

Berita Harian X