Isnin, 17 November 2014 | 6:30pm

FBM KLCI ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah secara menyeluruh hari ini, diseret turun oleh kerugian yang dicatat saham mewah dan saham bermodal kecil, namun berjaya kekal melepasi paras 1,800 mata.

Pada jam 5 petang, indeks petunjuk utama ditutup pada paras terendah harian pada 1,806.48, susut 7.31 mata selepas mencecah paras tinggi pada 1,814.58.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew, berkata pasaran tempatan agak lengang hari ini berikutan pelabur enggan memasuki pasaran menjelang aktiviti memperelok akaun, yang kebiasaannya muncul pada akhir tahun.

"Kita sedang menuju ke arah aktiviti itu dan menjurus kepada jualan besar-besaran.

"Kedudukan ini (jualan) akan berterusan dalam tempoh dua hingga tiga minggu," katanya sambil menambah, data pertumbuhan suku ketiga Jepun yang lemah turut menjejaskan permintaan, bukan sahaja di Bursa Malaysia, malah dalam kalangan bursa serantau.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 58.93 mata kepada 12,475.97, Indeks FBMT100 susut 54.91 mata kepada 12,146.95, FBM Ace turun 43.1 mata kepada 6,338.29, manakala FBM 70 turun 83.51 mata kepada 13,555.2.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 22.05 mata kepada 3,274.94 dan Indeks Kewangan susut 31.89 mata kepada 16,380.83, manakala Indeks Perladangan merosot 47.74 mata kepada 8,318.54.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 532 berbanding 245, dengan 286 kaunter tidak berubah, 627 kaunter tidak didagangkan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.41 bilion saham bernilai RM1.39 bilion berbanding 1.64 bilion unit bernilai RM1.6 bilion Jumaat lalu.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Public Bank menokok enam sen kepada RM18.26 dan Sime Darby menambah tiga sen kepada RM9.65.

Maybank bagaimanapun turun satu sen kepada RM9.55, TNB susut dua sen kepada RM13.50, manakala Axiata rugi empat sen kepada RM7.01.

Antara kaunter aktif, IFCA MSC menokok 4.5 sen kepada 80.5 sen, Muhibbah Engineering turun 26 sen kepada RM2.30, dan Asia Bioenergy tidak berubah pada 14 sen.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 854.25 juta unit bernilai RM1.25 bilion berbanding 1.15 bilion unit bernilai RM1.48 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 518.09 juta saham bernilai RM130.27 juta berbanding 447.13 juta unit bernilai RM115.67 juta.

Waran merosot kepada 35.38 juta unit bernilai RM3.21 juta berbanding 41.34 juta unit bernilai RM4.56 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang sebanyak 51.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (141.98 juta), pembinaan (73.28 juta), perdagangan dan perkhidmatan (375.15 juta), teknologi (55.27 juta), infrastruktur (22.12 juta), SPAC (27.33 juta), kewangan (27.45 juta), hotel (350,600), hartanah (59.86 juta), perladangan (5.69 juta), perlombongan (43,000), REIT (14.34 juta) dan dana tertutup (33,600). - BERNAMA

Berita Harian X