Jumaat, 7 November 2014 | 10:59am

PNS rumus strategi perluas perniagaan francais

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM268.76 juta untuk pembiayaan skim atau produk kepada francaisor dan francaisi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Peruntukan itu sejak 2006 hingga Ogos tahun ini membabitkan pembiayaan keseluruhan kepada 1,386 francaisor dan francaisi.

Pengarah Urusan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodri Shahabudin, berkata PNS bercadang memperbanyakkan lagi pembabitan sebagai francaisor dan francaisi dalam kalangan rakyat bagi merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Penyertaan syarikat gergasi francais seperti 7-Eleven dan Restoran Subway di Malaysia turut mendorong minat rakyat negara ini untuk menceburi perniagaan francais, tambahnya.

"Francais adalah bidang perniagaan yang mampu membawa pulangan lumayan kepada pelabur," katanya dalam satu pertemuan di sini.

Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini saja, PNS meluluskan sebanyak RM26.65 juta bagi membiayai produk atau skim kepada 86 francaisor dan francaisi tempatan.

PNS menerusi PNS Academy akan terus berusaha melatih dan membangunkan modal insan negara dalam bidang perniagaan francais, selain menyumbang kepada pembentukan masyarakat perniagaan dan perindustrian Melayu berdaya saing di negara ini.

Terbaharu, PNS Academy bekerjasama dengan Institute of Professional Development, Open University Malaysia (IPD-OUM) melancarkan Program 'Pengurus Francais Bertauliah' (CFM) untuk meningkatkan penyertaan orang ramai dalam perniagaan francais.

"Program itu yang disertai 30 peserta, dibangunkan Franchise Mind, sebuah syarikat perunding berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) untuk berkongsi pengalaman serta membimbing peserta program dalam bidang berkenaan dan ia adalah satu gabungan pintar akademi-industri antara IPD-OUM, PNS Academy dan Franchise Mind.

"Antara modul pembelajaran yang diperkenalkan menerusi program berkenaan ialah mengembangkan operasi perniagaan, menarik pelanggan setia, membina francais berjaya dan mewujudkan hubungan baik antara francais," katanya.

Berita Harian X