Jumaat, 17 Oktober 2014 | 3:50pm

Virgin beli baki 40 peratus saham Tigerair Australia pada A$1

MELBOURNE: Virgin Australia hanya membayar A$1 (RM2.88) untuk mengambil alih sepenuhnya pemilikan syarikat penerbangan tambang rendah Tigerair Australia.

Syarikat induk Tiger Holdings Singapore bersetuju menjual baki 40 peratus kepentingannya dalam Tigerair Australia, yang tidak mencatat untung, pada kadar serendah itu, namun akan terus melesenkan jenamanya kepada Virgin, lapor Australian Associated Press.

Virgin membeli 60 peratus kepentingan dalam Tiger pada pertengahan 2013 dan Ketua Eksekutif John Borghetti hari ini berkata pengambilalihan sepenuh pemilikan akan membolehkan syarikat penerbangan itu meraih keuntungan dengan lebih cepat.

"Mengikut cadangan janji niaga itu, kami akan dapat keuntungan dari segi kos dan meraih keuntungan lebih awal menjelang hujung 2016, dengan memanfaatkan sumber Kumpulan Virgin Australia yang lebih luas," katanya.

Menerusi janji niaga itu, Virgin juga akan memperoleh hak jenama untuk menerbangkan Tigerair Australia ke destinasi seberang laut bersaing dengan Jetstar, di arena antarabangsa.

Borghetti berkata Virgin akan terus mengendalikan Tiger sebagai sebuah jenama berasingan. - BERNAMA

Berita Harian X