Jumaat, 17 Oktober 2014 | 3:30pm

Glomac rancang perbandaran baharu GDV RM750 juta di Johor

FD Iskandar (tiga dari kiri) dan FD Mansor (tiga dari kanan) pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Glomac di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim
FD Iskandar (tiga dari kiri) dan FD Mansor (tiga dari kanan) pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Glomac di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah Glomac Bhd merancang membangunkan perbandaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM750 juta di tanah yang baru saja dibelinya di Kulaijaya, Johor pada Mac depan.

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor, berkata perbandaran itu terletak kira-kira dua kilometer dari Johor Premium Outlet (JPO).

"Untuk dua fasa pertama kami akan membangunkan perumahan mampu milik bertanah dengan konsep baharu.

"Kami sedang meneliti projek yang sudah dilaksanakan di Greater KL namun mungkin tidak di Johor untuk lingkungan harga sedemikian," katanya dalam taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, di sini hari ini.

FD Iskandar berkata mereka kini dalam peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan bagi projek itu dan syarikat berharap akan memperoleh kelulusan itu menjelang hujung tahun ini.

Ketika ini Glomac mempunyai simpanan tanah dengan potensi GDV RM8 bilion dan 85 peratus daripadanya akan diperoleh menerusi pembangunan perumahan bertanah dan perbandaran mampu milik.

Syarikat menyasarkan pelancaran baharu dengan GDV RM1 bilion tahun depan.

Syarikat juga menjangka perolehan tidak berubah untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 April 2015 disebabkan keputusan strategik untuk menangguhkan beberapa pelancaran utama.

"Glomac tidak membuat pelancaran baharu dalam tempoh enam bulan pertama dan hanya menjual inventori sedia ada kerana kami mahu melihat reaksi pasaran (disebabkan kelembapan pembelian dalam industri)," katanya.

FD Iskandar berkata sebab utama ialah pembeli sukar memperoleh pinjaman perumahan.

"Bajet 2015 bagaimanapun akan mempertingkat keupayaan pembeli rumah pertama yang membeli rumah pada harga bawah RM500,000," katanya.

Beliau turut berharap institusi kewangan akan memainkan peranan dan membantu pembeli rumah pertama memiliki hartanah berharga bawah RM500,000. - BERNAMA

Berita Harian X