Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:48pm

Sektor pembuatan dijangka catat prestasi lebih baik pada 2014

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan negara dijangka mencatat prestasi lebih baik bagi tahun 2014, dengan pertumbuhan 6.4 peratus berbanding 3.5 peratus pada 2013, disokong oleh persekitaran aktiviti ekonomi domestik yang menggalakkan dan pemulihan sektor luar.

Sasaran ini disokong oleh peningkatan keluaran bagi sektor sebanyak 6.6 peratus pada tujuh bulan pertama tahun 2014, berbanding 3.5 peratus pada tahun lalu, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan permintaan negeri, menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2015 hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Laporan itu turut merekodkan nilai jualan barangan pembuatan melonjak semula sebanyak 7.7 peratus kepada RM379.5 bilion berbanding RM352.4 bilion tahun lalu, prestasi kukuh sektor ini disumbangkan oleh pengeluaran lebih tinggi daripada sektor berorientasikan domestik terutamanya kelengkapan pengangkutan, makanan dan minuman.

"Sektor pembuatan terus menarik pelaburan domestik dan asing dengan pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM47.4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM22.7 bilion tahun lalu, terutamanya dari Jepun, China dan Jerman," menurut laporan itu.

Sementara itu, pengeluaran produk getah menguncup 0.3 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2014 disebabkan permintaan yang lebih perlahan bagi sarung tangan dan tayar getah.

Penurunan keluaran tayar getah untuk kenderaan disebabkan permintaan luar yang lebih lemah daripada industri automotif terutamanya dari China.

Pengeluaran produk getah lain merosot sebanyak 3.8 peratus berikutan peralihan penggunaan daripada produk berasaskan getah kepada plastik, silikon dan logam aloi dalam pembuatan kelengkapan perubatan.

Keluaran industri berorientasikan eksport berkembang pada kadar yang lebih rancak iaitu sebanyak 5.6 peratus berbanding 2.7 peratus pada 2013, disokong terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) serta tekstil, pakaian, barangan kulit dan kasut.

Dalam subsektor E&E, pengeluaran meningkat lebih kukuh sebanyak 13.3 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2014, disokong oleh komponen elektronik, peralatan komunikasi dan perkakasan domestik.

Trend global jualan semikonduktor yang menggalakkan di Amerika Syarikat, Asia Pasifik, Jepun dan Eropah dan jualan semikonduktor global meningkat 10.3 peratus pada tempoh yang sama tahun ini kepada AS$188 bilion (AS$1>RM3.2710).

- BERNAMA

Berita Harian X