Jumaat, 12 September 2014 | 3:29pm
Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria. - Foto Salhani Ibrahim
Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria. - Foto Salhani Ibrahim

ASEAN perlu terus kukuhkan pengurusan kawal selia - MPC

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu meneruskan usaha mengukuhkan pengurusan kawal selia untuk menghadapi pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015, bagi menjadikan rantau dengan 600 juta orang ini, destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Mohd Razali Hussain, berkata sudah tiba masanya ASEAN membangun dan mengukuhkan lagi sistem pengurusan kawal selia untuk menambah baik kawal selia, peraturan responsif dan keseragaman peraturan domestik dan serantau.

"Ini diperlukan untuk memastikan peningkatan persekitaran perniagaan dan pelaburan di rantau ini bagi mewujudkan iklim perniagaan yang lebih kondusif, " katanya pada bengkel kawal selia yang dianjurkan MPC dan Institut Penyelidikan Ekonomi Bagi ASEAN dan Asia Timur di sini hari ini.

Kerjasama kawal selia bertujuan mengurangkan halangan kawal selia untuk perdagangan dan pelaburan yang wujud oleh undang-undang yang berbeza daripada negara-negara melalui kerjasama antara ekonomi.

Mohd Razali memberi contoh Malaysia yang melonjak ke kedudukan keenam dalam kalangan 189 negara dalam laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014, adalah hasil pengurusan kawal selia yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan itu.

"Walaupun terdapat peningkatan ketara dalam banyak bidang kedudukan, kerajaan sedar bahawa masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata amalan kawal selia yang baik memberi kesan daya saing negara dan Malaysia sudah melakukan dengan baik dalam konteks ini dengan meningkat kepada kedudukan ke-20 ekonomi paling berdaya saing di dunia di dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia.

Malaysia perlu terus meningkatkan kerjasama kawal selia dengan rakan-rakan untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan integrasi ekonomi, katanya dalam ucaptamanya.

"Adalah penting bagi negara-negara di rantau ini menyeragamkan proses membuat peraturan dan kawal selia dengan penekanan yang lebih besar pada perundingan awam," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X