Khamis, 11 September 2014 | 2:46pm

YTL rancang beli 49 peratus saham dalam syarikat tenaga India

NEW DELHI: Konglomerat prasarana, YTL Corporation Bhd, kini dalam perbincangan dengan NSL Group dari India bagi memperoleh 49 peratus kepentingan dalam NSL Orissa Power and Infratech, syarikat tenaga haba, lapor Economics Times.

"Perbincangan kini pada peringkat lanjutan dan proses sewajarnya sedang berjalan," lapor akhbar harian perniagaan itu yang memetik sumber.

Laporan itu menyebut NSL Orissa Power dalam proses membangunkan loji jana tenaga menggunakan arang batu berkuasa 1,320 Megawatt di Angul di daerah Orissa, membabitkan pelaburan bernilai AS$1.314 bilion (RM4.28 bilion) yang dibiayai menerusi ekuiti hutang 70:30.

Laporan itu juga menyebut Alstom India diberi kontrak membekalkan peralatan termasuk dandang dan turbin untuk loji itu.

"YTL juga sedang berbincang dengan NSL Group untuk memperoleh kepentingan majoriti dalam bahagian operasi dan penyelenggaraan projek di Orissa itu," katanya.

YTL yang dilapor memperoleh pendapatan berjumlah AS$6.1 bilion (RM19.5 bilion) bagi tahun berakhir Jun 2014, mempunyai aset tenaga di Malaysia, United Kingdom, Australia dan Indonesia. - BERNAMA

Berita Harian X