Rabu, 10 September 2014 | 6:01pm
Sebahagian daripada kira-kira 2,000 peserta mendengar penerangan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah pada Majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Sebahagian daripada kira-kira 2,000 peserta mendengar penerangan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah pada Majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Negara boleh capai taraf negara maju lebih awal - Husni

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, jumlah pendapatan per kapita rakyat Malaysia yang meningkat kepada AS$10,500 (RM33,528) pada tahun ini, melebihi sasaran awal kerajaan iaitu sebanyak kira-kira AS$9,000 (RM28,738.30).

"Justeru, saya yakin bahawa kita akan mencapai sasaran negara maju berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita AS$15,000 (RM47,897) menjelang tahun 2018," katanya pada majlis Penerangan Perdana GST di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja mementingkan ekonomi negara (melalui Keluaran Dalam Negara Kasar - KDNK) tetapi turut menitik beratkan ekonomi rakyat.

Tegasnya, tiada erti Malaysia mencapai taraf negara maju jika terdapat golongan yang tidak mampu menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

"Di bawah SST (cukai jualan dan perkhidmatan), secara nisbah, daripada enam buah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hanya sebuah sahaja yang membayar cukai.

"Kalau begitu, bagaimana kerajaan mahu menyediakan lebih banyak peruntukkan untuk membangunkan ekonomi rakyat?" katanya.

Husni berkata ada lima kompisisi cukai dalam SST yang dikenakan kepada pengguna tanpa mereka sedari, manakala dalam GST hanya terdapat satu kompisisi iaitu sebanyak enam peratus.

"Terdapat negara yang pendapatan per kapitanya di bawah AS$1,000 (RM3,193) pun sudah melaksanakan GST, mengapa kita tidak mampu? (untuk melakasanakannya)," katanya.

Seminar sehari ini dihadiri lebih dari 1,500 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, golongan peniaga, GLC dan golongan belia. - BERNAMA

Berita Harian X