Selasa, 2 September 2014 | 8:04pm

Konsortium disertai Toshiba menang kontrak EPC loji Jimah

KUALA LUMPUR: Konsortium Toshiba Corporation bersama tiga syarikat lain memenangi kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (Kontrak EPC) bagi loji arang batu 2,000 MW di Mukim Jimah, Negeri Sembilan.

Toshiba dan rakan konsortium, IHI Corporation, Hyundai Engineering Co Ltd dan Hyundai Engineering & Construction Co Ltd memeterai kontrak EPC itu dengan syarikat tujuan khas ditubuhkan Mitsui & Co Ltd (Mitsui) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), iaitu syarikat pelaburan milik penuh Perbadanan Menteri Kewangan.

Menerusi Kontrak EPC itu, Toshiba akan membekal dan memasang dua unit turbin stim dan penjana tahap kritikal tertinggi 1,000MW (STG) yang menawarkan kecekapan tenaga peringkat tinggi dan kelas output terbesar di dunia, termasuk peralatan utama lain seperti peralatan kawalan loji, alat ubah utama dan lapangan suis.

Toshiba akan turut memainkan peranan penting dalam kerja awam marin, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi proses bidaan antarabangsa yang dibuka Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Mitsui dan 1MDB dianugerahkan projek itu berserta hak untuk membina, memilik dan mengendalikan loji jana kuasa arang batu tahap kritikal tertinggi 2,000MW (1,000MW x 2 unit).

Ia turut diberi hak menjual tenaga elektrik yang dijana kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah satu Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

Unit pertama projek itu dijangka beroperasi secara komersial pada 2018, manakala unit kedua pada 2019.

Toshiba adalah peneraju pasaran dalam pembinaan loji tenaga berskala besar di Malaysia.

Rekod syarikat itu di Malaysia termasuk pembinaan secara usaha sama dengan IHI bagi dua buah loji jana kuasa arang batu berskala besar (700MW x 2 unit), bersebelahan loji jana kuasa arang batu Jimah yang akan dibina di bawah kontrak yang baru diumumkan dan loji jana kuasa arang batu Tanjung Bin (700MW x 3 unit).

Toshiba juga sudah menyiapkan Port Dickson Fasa 2 iaitu projek penjanaan kuasa kitaran gabungan (750MW x 1 unit), sebagai kontraktor EPC.

Berita Harian X