Jumaat, 29 Ogos 2014 | 2:29pm

Dagangan Bursa Malaysia mendatar pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia meneruskan pergerakan mendatar sehingga tengah hari ini setelah kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran mendahului cuti hujung minggu Hari Merdeka.

Pada pukul 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.51 mata kepada 1,872.17, selepas bergerak antara 1,870.46 dan 1,879.53 sepanjang sesi.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan pelabur berkemungkinan tidak memasuki pasaran selepas musim pelaporan kewangan yang secara amnya kurang memberangsangkan.

Di papan skor, Indeks Kewangan susut 29.729 mata kepada 17,475.46, Indeks Perusahaan merosot 9.98 mata kepada 3,249.91, manakala Indeks Perladangan turun 39.811 mata kepada 8,559.77.

Indeks FBM Emas berkurangan 34.79 mata kepada 13,023.96, Indeks FBMT100 susut 23.91 mata kepada 12,617.3, FBM Ace turun 87.66 mata kepada 6,832.1 dan FBM 70 berkurangan 27.76 mata kepada 14,186.94.

Saham rugi mengatasi untung pada 659 berbanding 158 dengan 257 kaunter tidak berubah, 555 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 1.46 bilion saham bernilai RM886.49 juta.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Axiata kekal, masing-masing pada RM10.10, RM19.28 dan RM6.95.

TNB menokok enam sen kepada RM12.50 manakala CIMB susut empat sen kepada RM7.36.

Antara saham aktif, Sumatec susut 3.5 sen kepada 45.5 sen, Sanichi dan Iris turun satu sen setiap satu, masing-masing kepada 13 sen dan 35.5 sen, PDZ berkurangan dua sen kepada 29 sen manakala Hubline kekal pada lima sen.

Saham MAS digantung sepanjang sesi dagangan hari ini setelah dipohon oleh pemegang saham utama syarikat, Khazanah Nasional Bhd, sementara menunggu pengumuman penting berhubung butir-butir cadangan penstrukturan syarikat penerbangan itu. - BERNAMA

Berita Harian X