Jumaat, 22 Ogos 2014 | 8:31pm

Saham KL rendah diseret pengambilan untung

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah dengan kegiatan pengambilan untung pada hari kedua berturut-turut, berikutan kerugian dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata para peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan hari ini dengan susut 0.20 peratus atau 3.82 mata, kepada 1,870.99 mata walaupun bermula positif.

Seorang peniaga berkata pembetulan yang sedang berlaku dalam saham berharga murah juga mempengaruhi sentimen pasaran secara menyeluruh dan menyekat kenaikan KLCI dalam jangka terdekat.

FBM KLCI bergerak antara 1,869.27 dan 1,869.27 mata sepanjang hari, selepas dibuka lebih tinggi pada 1,876.22 peratus.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun merosot kepada 15,539.19, di Singapura, Indeks Straits Times menokok kepada 3,325.5 manakala pasaran Hong Kong, Hang Seng mengukuh kepada 25,112.23.

Antara saham paling rugi, Kuala Lumpur Kepong turun 62 sen kepada RM22.54, United Plantations susut 38 sen kepada RM27.10 dan RHB Capital kurang 29 sen ekpada RM2.86.

Bagi saham paling untung, Syarikat Takaful Malaysia meningkat 28 sen kepada RM13.00, Ajiya Bhd menambah 26 sen kepada RM2.75 manakala Khind Holdings menokok 18 sen kepada RM17.20.

Antara kaunter aktif, Hubline Bhd kekal pada 55 sen, Reach Energy naik satu sen kepada 24.5 dan Sumatec Resources turun 1.5 sen kepada 50.5 sen.

Indeks Kewangan kurang 29.15 mata kepada 12,648.01, Indeks Perusahaan susut 9.11 mata kepada 3,260.27 dan Indeks Perladangan turun 106.620 mata kepada 8,590.29.

Indeks FBM Emas merosot 16.42 mata kepada 13,082.26, Indeks FBMT100 susut 16.47 kepada 12,648.01

FBM 70 menambah 17.08 mata kepada 14,370.47 dan FBM Ace menokok 0.91 mata kepada 7,073.61.

Saham rugi mengatasi untung pada 456 berbanding 381 manakala 317 kaunter tidak berubah, 489 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.314 bilion unit bernilai RM2.26 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.44 bilion semalam. - BERNAMA

Berita Harian X