Selasa, 30 September 2014 | 1:10pm
Salah seorang penunjuk perasaan duduk bersebelahan gambar Ketua Eksekutif Hong Kong Leung Chun-ying, yang ditokok- tambah dengan gigi taring ketika mereka menghalang jalan raya di depan bangunan kerajaan hari ini. - Foto REUTERS
Salah seorang penunjuk perasaan duduk bersebelahan gambar Ketua Eksekutif Hong Kong Leung Chun-ying, yang ditokok- tambah dengan gigi taring ketika mereka menghalang jalan raya di depan bangunan kerajaan hari ini. - Foto REUTERS

Penunjuk perasaan di Hong Kong beri tempoh kepada kerajaan

HONG KONG: Penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong memberi tempoh sehingga esok bagi kerajaan memberi tindak balas berhubung tuntutan mereka.

Satu kenyataan ringkas oleh kumpulan penentang itu, 'Occupy Central' menyatakan ia memberi sehingga 1 Oktober bagi Ketua Eksekutif Leung Chun-ying memenuhi tuntutan mereka berhubung demokrasi tulen dan desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai pemimpin Hong Kong.

Ia menyatakan mereka akan mengumumkan tindakan baharu pada hari sama.

Esok adalah cuti umum sempena Hari Kebangsaan China dan lebih ramai orang dijangka membanjiri jalan raya.

Kerajaan mengumumkan ia membatalkan pertunjukan bunga api yang dirancang sebelum ini bagi menyambut Hari Kebangsaan.

Sehari selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan itu, mereka berhimpun beramai-ramai dengan menyanyi dan menghalang jalan raya di Hong Kong.

Penunjuk perasaan itu melaungkan gesaan supaya Leung meletakkan jawatan dan menyanyi lagu kebangsaan sambil menggesa agar wujud kebebasan.

"Kumpulan pelajar ini melindungi hak untuk mengundi, bagi masa depan Hong Kong. Kami tidak takut, kami tidak gentar, kami hanya melakukan perjuangan," kata

Carol Chan, seorang kakitangan perkhidmatan awam berusia 55 tahun, yang mengambil dua hari cuti untuk menyertai bantahan itu selepas marah berikutan penggunaan gas pemedih mata oleh polis Ahad lalu.

Pelajar dan aktivis berhimpun di luar sejak Jumaat lalu, bagi mendesak Beijing supaya melakukan pembaharuan demokrasi di bekas jajahan British itu. - AP

Berita Harian X