Khamis, 18 September 2014 | 11:31am
Sebahagian daripada serpihan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di kawasan ladang Hrabove, kira-kira 80 kilometer dari Donetsk. - Foto AFP
Sebahagian daripada serpihan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di kawasan ladang Hrabove, kira-kira 80 kilometer dari Donetsk. - Foto AFP

Majlis Keselamatan PBB bincang tragedi MH17 esok

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Kejadian di mana pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine akan dibincang oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) esok.

Beberapa menteri luar yang akan menghadiri perbahasan Majlis Keselamatan mengenai Iraq pada petang esok, dijangka akan turut hadir pada sidang yang membincang nahas MH17 pada sebelah pagi.

Pesawat itu terhempas di Ukraine di kawasan dikuasai pemberontak pro-Russia pada 17 Julai lalu, mengorbankan 298 orang. Dua pertiga daripada mereka adalah dari Belanda.

Ukraine dan negara Barat menuduh pemberontak terbabit menembak jatuh pesawat berkenaan dengan menggunakan peluru berpandu Russia.

Russia menolak tuduhan yang menyatakan ia membekalkan pemberontak terbabit dengan sistem peluru berpandu antipesawat SA-11 Buk.

Sidang esok diadakan berikutan permintaan daripada Russia.

Menurut diplomat, Ketua Politik PBB Jeffrey Feltman akan memberi taklimat mengenai laporan tragedi itu kepada 15 anggota Majlis Keselamatan.

"Kami agak hairan kenapa Russia meminta supaya taklimat itu diadakan. Kita akan ketahui esok," kata seorang diplomat kanan. - REUTERS

Berita Harian X