Selasa, 11 Julai 2017 | 6:46pm

Gempa 6.8 magnitud landa perairan New Zealand

WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda perairan New Zealand hari ini, sekali gus mengakibatkan gegaran kecil di kawasan South Island.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan berkata, gempa bumi itu berpusat di bawah laut pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 475 kilometer di selatan tanah besar.

Tiada laporan mengenai ancaman tsunami dikeluarkan setakat ini.

Pakar Seismologi dari Geosains Australia, Greg Breen berkata, maklumat yang diterima menyatakan mungkin terdapat gegaran kecil di bahagian selatan South Island.

"Gegaran itu bagaimanapun diramal tidak mendatangkan sebarang kerosakan," katanya.

Beberapa pengguna Twitter di Invercargill dan Dunedin pula melaporkan mengalami sedikit gegaran, namun jurucakap Jabatan Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata, mereka tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.

New Zealand berada di garisan sempadan plat tektonik Australia dan Pasifik, yang membentuk Lingkaran Api, menyebabkan negara itu mengalami sehingga 15,000 gegaran setiap tahun. - AFP

Berita Harian X