Isnin, 3 Julai 2017 | 9:23pm

2,000 ekstremis Islam di Sweden - Sapo

KETUA perkhidmatan perisikan domestik, Sapo, Anders Thornberg
KETUA perkhidmatan perisikan domestik, Sapo, Anders Thornberg

STOCKHOLM: Sweden memiliki hampir 2,000 ekstremis Islam, kata ketua perisikan negara itu hari ini, peningkatan hampir 10 kali ganda dalam tempoh kurang sedekad.

Ketua perkhidmatan perisikan domestik, Sapo, Anders Thornberg berkata, peningkatan itu berpunca daripada dorongan propaganda canggih militan Daesh.

Thornberg berkata, walaupun hanya segelintir pelampau memiliki keupayaan melancarkan serangan, setiap pergerakan mereka perlu dipantau rapi.

"Adalah penting semua pihak di Sweden mengambil tanggungjawab menghentikan kecenderungan ini sebelum kita melihat serangan atau tindakan keganasan," katanya kepada agensi berita TT dalam temuramah disiarkan hari ini.

Sweden dalam keadaan berjaga-jaga selepas seorang rakyat Uzbekistan yang bersimpati dengan Daesh mencuri sebuah trak sebelum merempuh orang ramai berhampiran pusat beli-belah sibuk 7 April lalu, mengorbankan lima orang dan mencederakan 15 lain.

Di Eropah pula, beberapa siri serangan berlaku termasuk pada skala besar di Paris, Brussels dan Berlin.

Thornberg berkata, daripada 3,000 pelampau di Sweden ketika ini, 2,000 daripadanya berselindung atas motif Islam manakala selebihnya berasal daripada kumpulan pelampau haluan kanan dan kiri. - AFP

Berita Harian X