Sabtu, 17 Jun 2017 | 3:14pm

Apnea tidur punca kematian Carrie Fisher

Carrie Fisher
Carrie Fisher

LOS ANGELES: Pelakon yang masyhur menerusi filem Star Wars, Carrie Fisher, mati akibat apnea tidur (gangguan pernafasan ketika tidur) dan faktor lain yang tidak dapat ditentukan, kata pejabat koroner Los Angeles County hari ini.

Kenyataan ringkas itu turut menyebut mengenai penggunaan dadah dan penyakit jantung atherosclerotic atau pembentukan plak pada dinding arteri.

Pejabat itu berkata, cara kematian Fisher turut dikategorikan sebagai tidak dapat ditentukan.

Pelakon yang membawa watak Princess Leia dalam filem trilogi Star Wars itu menghadapi kecemasan perubatan dalam penerbangan rentas Atlantik, akhir Disember lalu.

Beliau meninggal dunia empat hari kemudian pada usia 60 tahun.

Januari lalu, koroner LA menyenaraikan punca kematiannya akibat serangan jantung.

Fisher pernah berdepan pelbagai masalah ketagihan dan jujur mengenai gangguan bipolar serta penggunaan dadah preskripsi.

Ibunya, pelakon Debbie Reynolds, yang dikenali menerusi filem Singin in the Rain, meninggal dunia sehari selepas Fisher. - AFP

Berita Harian X