Ahad, 4 Jun 2017 | 9:11am

Kapal angkasa terpakai hantar bekalan ke ISS

ROKET SpaceX Falcon 9 membawa kapsul kargo Dragon berlepas dari Cape Canaveral, Florida. - Foto EPA
ROKET SpaceX Falcon 9 membawa kapsul kargo Dragon berlepas dari Cape Canaveral, Florida. - Foto EPA

MIAMI: Syarikat perkhidmatan pengangkutan dan pengeluar kapal angkasa Amerika Syarikat (SpaceX) semalam, buat pertama kali melancarkan roket membawa makanan dan bekalan kepada angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menggunakan pengangkutan yang pernah dihantar ke sana sebelum ini.

Kapsul kargo Dragon yang diubahsuai meluncur ke angkasa lepas di dalam roket Falcon 9 pada jam 5.07 petang waktu tempatan dari Cape Canaveral, Florida.

"Tiga, dua, satu dan bergerak," kata jurucakap Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan AS (NASA), Mike Curie, ketika roket itu dilancarkan.

Kali terakhir kapal angkasa itu diterbangkan ke angkasa lepas adalah pada 2014.

Dragon diisi dengan hampir 2,700 kilogram penyelidikan sains, bekalan kru dan perisian dan dijangka tiba di ISS esok.

Bekalan untuk uji kaji khas termasuk tikus hidup untuk mengkaji kesan osteoporosis dan lalat buah bagi penyelidikan kesan mikrograviti ke atas jantung.

Ia turut diisi dengan panel solar dan peralatan mengkaji bintang neutron.

Kira-kira 10 minit selepas pelancaran, SpaceX berjaya mengembalikan fasa pertama roket Falcon 9 ke landasan kawalan di Cape Canaveral.

Ia adalah yang ke-100 daripada landasan pelancaran bersejarah NASA, permulaan bagi misi Apollo ke Bulan pada 1960-an dan 1970-an, selain keseluruhan 82 penerbangan.

AFP

Berita Harian X