Khamis, 1 Jun 2017 | 9:09am

Trump tangguh pindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis

Donald Trump
Donald Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump dijangka menangguhkan proses menempatkan semula Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, kata pegawai dan sumber diplomatik semalam.

Dengan tarikh akhir bagi keputusan itu semakin hampir, Trump dilihat mungkin meneruskan dasar pemimpin AS terdahulu dengan meluluskan penangguhan enam bulan terhadap rang undang-undang 1995 yang berkehendakkan kedutaan AS dipindahkan ke Baitulmaqdis.

Jika kedutaan AS dipindahkan Baitulmaqdis, langkah itu dilihat akan menyukarkan lagi usaha Trump menghidupkan semula rundingan damai Israel-Palestin.

Trump masih belum membuat keputusan rasmi tetapi undang-undang memerlukan beliau melakukannya menjelang esok, menurut salah seorang pegawai AS.

Melakukan kejutan saat akhir, Trump dijangka memperbaharui arahan penangguhan itu.

Pentadbirannya berhasrat menjelaskan perkara itu tetapi Trump komited kepada janji yang dibuat ketika kempen pilihan raya presiden 2016 walaupun tidak menetapkan tempoh khas melakukannya.

Ditanya sama ada Trump akan menandatangani dokumen perjanjian itu, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer, berkata mereka akan memberitahu sebaik membuat keputusan.

Walaupun ada percanggahan dalam kalangan pembantu Trump mengenai isu itu, pandangan yang kerap diterima adalah membiarkan kedutaan AS di Tel Aviv buat masa ini bagi mengelakkan kemarahan penduduk Palestin, kerajaan Arab dan sekutu Barat ketika beliau berusaha menghidupkan semula rundingan damai. - Reuters

Berita Harian X