Rabu, 24 Mei 2017 | 1:02am

'James Bond' meninggal dunia akibat barah

AKTOR popular, Roger Moore. - Foto AFP
AKTOR popular, Roger Moore. - Foto AFP

LONDON: Aktor popular, Roger Moore, yang melakonkan watak James Bond selama dua dekad, meninggal dunia pada usia 89 tahun.

"Dengan hati berat kami mengumumkan bapa kami, Sir Roger Moore, sudah meninggal dunia hari ini di Switzerland selepas bertarung dengan barah.

"Kami semua sedih. Terima kasih ayah kerana menjadi ayah kami, dan menjadi seseorang yang istimewa kepada ramai orang," kata anak-anaknya, Deborah, Geoffrey dan Christian dalam kenyataan yang disiarkan di Twitter.

Moore mencipta kemasyhuran sebagai Simon Templar dalam siri televisyen Britain, The Saint, pada tahun 1960-an dan membintangi siri The Persuaders bersama-sama pelakon Tony Curtis pada 1970-an.

Pada 1973, pada usia 45 tahun, beliau memperoleh peranan sebagai ejen rahsia ciptaan Ian Fleming, James Bond.

Moore membuat penampilan pertamanya sebagai ejen yang memakai nombor 007 dalam 'Live and Let Die' diikuti dengan enam filem lain, dan terakhir adalah 'A View to a Kill', pada 1985. - AFP

Berita Harian X