Ahad, 21 Mei 2017 | 12:08pm

Jepun, NZ ketuai 11 negara teruskan perjanjian TPP

TODD McClay dikerumuni wartawan selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hanoi. - Foto Reuters
TODD McClay dikerumuni wartawan selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hanoi. - Foto Reuters

HANOI: Baki negara yang menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) setuju untuk meneroka pelbagai cara bagi meneruskan perjanjian itu selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menarik diri, susulan dasar 'Amerika Syarikat Diutamakan'.

Keputusan itu dicapai hari ini dan semua negara sebulat suara menyatakan komitmen untuk mengambil langkah segera, ketika Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) meramalkan kegagalan dalam sebarang rundingan perdagangan global.

Usaha diketuai Jepun dan New Zealand itu bagi memastikan baki 11 negara yang menandatangani TPP supaya meneruskan perjanjian berkenaan.

"Semua negara ini akan meneruskan cadangan pelaksanaan TPP pada November depan," kata Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay kepada wartawan selepas mesyuarat peringkat menteri, iaitu perbincangan peringkat tertinggi mengenai TPP, sejak Trump mengambil alih Rumah Putih.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, keputusan berkenaan diambil berikutan wujudnya kebimbangan mengenai 'dasar perlindungan' dan langkah mengekalkan pasaran terbuka.

Kebimbangan mengenai dasar perlindungan semakin meningkat, sejak Trump menarik balik penyertaan Amerika Syarikat dalam TPP. - REUTERS

Berita Harian X