Sabtu, 6 Mei 2017 | 6:12pm

Parti Konservatif menang pilihan raya tempatan

 PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto AFP
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto AFP

LONDON: Parti Konservatif diterajui Perdana Menteri Britain, Theresa May, menang besar dalam pilihan raya tempatan semalam, sebulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

Keputusan akhir menunjukkan parti berhaluan kanan itu meraih sokongan padu dari seluruh negara, menewaskan calon utama pembangkang iaitu Parti Buruh serta mengenepikan sepenuhnya penyokong kuat Brexit iaitu Parti Bebas United Kingdom (UKIP).

Daripada keseluruhan 88 kerusi pihak berkuasa yang dipertandingkan, Konservatif membolot 1,900 kerusi iaitu pertambahan sebanyak 558 kerusi.

Parti Buruh pula memenangi 1,151 kerusi, penurunan sebanyak 320 kerusi, manakala parti pro Kesatuan Eropah (EU), Parti Demokratik Liberal, memenangi 441 kerusi, berkurangan 37 kerusi.

UKIP pula hanya sekadar memenangi satu kerusi baharu dan kehilangan semua 114 kerusi yang cuba dipertahankan.

Parti Nasional Scotland yang memohon untuk satu lagi pungutan suara dilaksanakan, memenangi 431 kerusi iaitu peningkatan sebanyak 31 kerusi.

Bagaimanapun di Scotland, Parti Konservatif masih unggul dengan 276 kerusi iaitu peningkatan sebanyak 164 kerusi.

Ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn, mengakui mereka perlu mengatasi cabaran getir dan mencipta sejarah jika mahu memenangi pilihan raya umum 8 Jun depan. - AFP

Berita Harian X