Selasa, 25 April 2017 | 9:34am

Rakyat Scotland tolak adakan lagi pungutan suara

EDINBURGH: Majoriti pengundi Scotland tidak mahu satu lagi pungutan suara untuk merdeka daripada United Kingdom (UK) dan sokongan terhadap pemisahan wilayah itu dilihat kian lemah, menurut tinjauan dilakukan firma Kantar.

Sebahagian besar pengundi Scotland mahu kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) pada pungutan suara Jun lalu dan keputusan itu berbeza dengan penduduk UK keseluruhannya yang mahu negara itu keluar EU.

Kerajaan Scotland yang diperintah Parti Nasional Scotland (SNP) sebelum ini berkata, ia bermakna wilayah itu perlu diberikan peluang baharu menentukan sama ada ia mahu berpisah dengan UK.

Namun, kerajaan pusat di London menentangnya.

Tinjauan membabitkan 1,060 individu dewasa itu menunjukkan isu Brexit tidak memberikan sebab kepada pergerakan menuntut kebebasan mengadakan satu lagi pungutan suara pada musim luruh 2018 atau musim bunga 2019.

Hasil tinjauan menunjukkan 46 peratus responden berpendapat pungutan suara tidak perlu, 26 peratus mahu pungutan suara pada tarikh itu dan 18 peratus lagi mahu pungutan suara, lebih lewat. - Reuters

Berita Harian X