Isnin, 24 April 2017 | 7:57am

Pemimpin EU harap kemenangan Macron

KEBANYAKAN pemimpin Eropah menyuarakan sokongan terhadap calon berhaluan sederhana pilihan raya presiden Perancis, Emmanuel Macron berbanding pencabarnya, Marine Le Pen. - Foto REUTERS
KEBANYAKAN pemimpin Eropah menyuarakan sokongan terhadap calon berhaluan sederhana pilihan raya presiden Perancis, Emmanuel Macron berbanding pencabarnya, Marine Le Pen. - Foto REUTERS

PARIS: Kebanyakan pemimpin Eropah menyuarakan sokongan terhadap calon berhaluan sederhana pilihan raya presiden Perancis, Emmanuel Macron berbanding pencabarnya, Marine Le Pen.

Keputusan menunjukkan kedua-dua calon itu akan bertemu pada pusingan kedua dan terakhir pada pilihan raya 7 Mei ini, dengan banyak tinjauan meramalkan Macron memenangi persaingan itu.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker mengucapkan tahniah kepada Macron yang pro-Kesatuan Eropah (EU) dan berharap nasib menyebelahinya dalam pemilihan kedua.

Ketua dasar luar EU, Federica Mogherini, berkata:

"EU menyambut baik keputusan dengan Emmanuel Macron sebagai pendahulu, beliau adalah harapan dan masa depan generasi kita."

Ketua perunding Suruhanjaya Eropah untuk proses Britain keluar EU (Brexit), Michel Barnier, pula menunjukkan kebimbangan Le Pen mungkin membawa Perancis keluar dari blok negara Eropah itu.

"Saya meletakkan kepercayaan terhadap Emmanuel Macron, 7 Mei ini. Perancis mesti kekal bersama EU," kata warga Perancis itu menerusi Twitter.

Dalam pada itu, jurucakap Canselor Angela Merkel mengharapkan yang terbaik bagi Macron untuk tempoh dua minggu lagi. - AFP

Berita Harian X