Selasa, 18 April 2017 | 10:38am

Doktor nafi beri ubat tahan sakit kepada Prince

MENDIANG Prince. - Foto REUTERS
MENDIANG Prince. - Foto REUTERS

MINNEAPOLIS: Seorang doktor mempertikaikan dakwaan beliau pernah memberi preskripsi ubat tahan sakit kepada Prince atau sesiapa yang berniat memberikannya kepada mendiang penyanyi itu.

Waran geledah didedahkan semalam oleh penyiasat yang menyiasat punca kematian dos berlebihan penyanyi itu hampir setahun lalu berkata, Dr Michael Schulenberg memberi preskripsi opioid (kumpulan ubat penahan sakit) kepada Prince namun meletakkannya atas nama pembantunya, Kirk Johnson.

Peguam Schulenberg, Amy Conner dalam satu kenyataan pula berkata, doktor itu tidak memberi preskripsi opioid sama ada secara langsung atau tidak kepada Prince.

Bedah siasat mendapati Prince meninggal dunia akibat pengambilan secara berlebihan Fentanyl iaitu ubat tahan sakit sintetik sementara peguam Johnson berkata, anak guamnya tidak memperoleh atau membekalkan ubat yang menyebabkan kematian penyanyi itu.

Waran geledah yang difailkan untuk siasatan kematian bintang pop itu berkata, Prince sering mendapatkan suntikan vitamin B12 bagi membolehkan beliau merasa sihat sebelum persembahan.

Beberapa waran geledah didedahkan hampir setahun selepas kematian Prince akibat pengambilan dos berlebihan ubat tahan sakit itu, namun pihak berkuasa belum mendakwa sesiapa dalam kes terbabit. - AP

Berita Harian X