Jumaat, 14 April 2017 | 11:02pm

Suspek serangan Stockholm ada kaitan Daesh

Menteri Luar Uzbekistan, Abdulaziz Kamilov bercakap semasa pertemuan dengan media di Tashkent, Uzbekistan. - Foto REUTERS
Menteri Luar Uzbekistan, Abdulaziz Kamilov bercakap semasa pertemuan dengan media di Tashkent, Uzbekistan. - Foto REUTERS

BISHKEK: Suspek serangan menggunakan trak di Stockholm, Sweden, disahkan ada kaitan dengan militan Daesh.

Laporan media Russia menyebut, suspek dikenali Rakhmat Akilov, 39, memegang kerakyatan Uzbekistan kini ditahan atas tuduhan menyerang orang ramai yang meragut empat nyawa.

Menteri Luar Uzbekistan, Abdulaziz Kamilov, berkata pembabitan suspek dalam aktiviti militan bermula sejak berpindah ke Sweden pada 2014 dan badan perisikan negara Asia Tengah itu turut menyalurkan maklumat berkaitan suspek.

"Ketika berada di luar negara, dia direkrut melalui atas talian oleh wakil Daesh di peringkat antarabangsa.

"Maklumat mengenai jenayah dilakukan Akilov dihantar melalui perkhidmatan khas kepada rakan kerjasama untuk makluman kerajaan Sweden," katanya.

Satu lagi agensi Russia, Interfax pada Rabu lalu memetik kenyataan sumber enggan dikenali di Uzbekistan berkata, waran tangkap ke atas Akilov dikeluarkan sejak Februari lalu.

Akilov kini masih ditahan polis Sweden dan mengaku memandu sebuah trak yang dicuri ke sebuah kawasan padat orang ramai di hadapan sebuah pusat beli belah. -AFP

Berita Harian X