Selasa, 11 April 2017 | 1:31am

16 maut pertempuran di Sudan Selatan

GAMBAR fail, beberapa orang awam yang berlindung di dalam pangkalan Bangsa-Bangsa Bersatu, di ibu negara Sudan Selatan Juba. - Foto AP
GAMBAR fail, beberapa orang awam yang berlindung di dalam pangkalan Bangsa-Bangsa Bersatu, di ibu negara Sudan Selatan Juba. - Foto AP

JUBA: Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh apabila pertempuran meletus antara tentera kerajaan dan pemberontak di bandar kedua terbesar Sudan Selatan, Wau, hari ini.

Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNMISS) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melakukan dua rondaan di Wau pada Isnin dan berkata mereka menemui mayat 16 orang awam di sebuah hospital.

"Seramai 10 lagi mangsa cedera," kata kenyataan itu.

UNMISS berkata, anggota SPLA (Tentera Pembebasan Rakyat Sudan), kereta kebal dan peralatan tentera bergerak ke bahagian barat daya Wau akhir minggu lalu.

Selepas satu serbuan di selatan bandar itu menyebabkan tentera kerajaan SPLA maut pada Ahad, pertempuran merebak ke Wau.

Menurut misi pengaman, kira-kira 3,000 penduduk yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke sebuah gereja Katolik di bandar itu. Seramai 84 yang lain mendapatkan perlindungan di tapak Perlindungan Awam UNMISS.

Wau terletak di wilayah yang sering bertukar tangan antara tentera kerajaan dan pemberontak yang setia kepada bekas naib presiden Riek Machar. Bandar itu dikuasai tentera yang setia kepada presiden Salva Kiir.

Sekurang-kurangnya 1.7 juta rakyat melarikan diri dari negara itu akibat perang dan 1.9 juta yang lain kehilangan tempat tinggal. - AFP

Berita Harian X