Ahad, 2 April 2017 | 11:12pm

PM Serbia, Aleksandar Vucic diramal menang besar

PENDUDUK membuat undian di Belgrade. - Foto AFP
PENDUDUK membuat undian di Belgrade. - Foto AFP

BELGRADE: Pilihan raya presiden Serbia bermula hari ini dan dilihat sebagai ujian terhadap kekuasaan pemimpin mereka, tatkala kebangkitan pengaruh Russia yang semakin berkembang di rantau Balkan.

Perdana Menteri, Aleksandar Vucic, yang mengisytiharkan dirinya sebagai ahli politik pro Kesatuan Eropah (EU), diramal memenangi pilihan raya itu dengan majoriti besar mengatasi 10 calon pembangkang, termasuk seorang calon yang kerap mempersendakan senario politik negara itu.

Kerjaya politik Vucic bagaimanapun mungkin berada dalam bahaya jika beliau gagal mengenepikan calon pembangkang pada pusingan pertama pengundian.

Vucic perlu memenangi lebih daripada 50 peratus undi hari ini untuk mengelakkan pusingan akhir pilihan raya pada 16 April yang akan meletakkan beliau dalam kedudukan bahaya untuk menghadapi calon pembangkang dalam pertandingan satu lawan satu.

Pencabar utama beliau termasuk peguam hak asasi manusia, Sasa Jankovic, bekas Menteri Luar, Vuk Jeremic dan nasionalis serta mentor Vucic sendiri, Vojislav Seselj yang pernah dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah perang.

Vucic didakwa oleh pembangkang sebagai mempergunakan media dan menakutkan pengundi menjelang pilihan raya, tetapi beliau menafikan semua tuduhan itu.

Katanya, beliau adalah satu-satunya individu yang boleh membawa kestabilan kepada rantau itu selepas terbabit dalam peperangan pada era 90-an.

"Saya berharap dengan pilihan raya ini, Serbia akan lebih stabil dengan sokongan penuh kerajaan. Saya tidak tahu apakah saya boleh menang tapi saya amat berharap mereka yang berniat untuk menggugat kestabilan Serbia tidak akan berjaya," katanya ketika ditemui selepas mengundi. - AP

Berita Harian X