Jumaat, 31 March 2017 | 12:09am

Bahrain lucut kerakyatan tiga rakyat terbabit militan

DUBAI: Mahkamah Bahrain melucutkan kerakyatan tiga rakyatnya atas tuduhan berkaitan aktiviti pengganas.

Sumber Jabatan Kehakiman yang enggan dikenali berkata, seorang tertuduh dikenakan hukuman penjara 15 tahun, manakala dua lagi dikenakan hukuman penjara 10 tahun.

Sumber itu berkata, semua tertuduh itu didapati bersalah mewujudkan sarang pengganas dan menerima dana dari Iran bertujuan merosakkan kestabilan Bahrain.

Mereka turut disabitkan dengan kesalahan menjalani latihan bersama kumpulan Ketaeb Hizbullah dari Iraq, iaitu antara kumpulan utama dalam pertubuhan Hashed al-Shaabi.

Kerajaan Bahrain selama ini mendakwa puak Syiah Iran bertanggungjawab menggerakkan tunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain. Namun, Iran menafikan dakwaan itu.

Keputusan itu dijatuhkan sehari selepas dua penganut ajaran Syiah dijatuhkan hukuman mati, manakala 20 lagi dipenjara kerana terbabit dalam insiden pengeboman pada 2015 yang mengorbankan dua pegawai polis di Sitra, selatan Manama.

Minggu lalu pula tiga tertuduh dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan pengeboman yang disasarkan kepada pasukan polis di perkampungan Kurayat, barat Manama. - AFP

Berita Harian X